Pantai Tanjung Kembang bakal berwajah baharu, pacu pelancongan Kabong

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir mempengerusikan Mesyuarat Bina Baharu dan Naik Taraf Fasiliti-Fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, Kabong dan Mesyuarat Cadangan Medan Selera dan Inap Desa Pantai Tanjung Kembang semalam. Foto ADUN Kabong

KABONG: Pantai Tanjung Kembang di sini bakal menerima nafas baharu menerusi cadangan pembangunan kemudahan serta naik taraf fasiliti yang dijangka mampu melonjakkan lagi potensi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama di Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, perkara itu antara yang diberi perhatian menerusi dua mesyuarat berkaitan pembangunan Pantai Tanjung Kembang yang dipengerusikannya.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pembentangan serta penelitian cadangan reka bentuk akhir bagi projek pembinaan baharu dan naik taraf fasiliti di kawasan pantai berkenaan.

Menurutnya, penelitian terhadap reka bentuk akhir merupakan antara fasa penting bagi memastikan setiap aspek pembangunan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan teliti sebelum projek berkenaan diteruskan ke peringkat seterusnya.

“Perancangan yang dibuat perlu mengambil kira keperluan penduduk dan pengunjung supaya kemudahan yang dibangunkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

PANTAI Tanjung Kembang, Kabong bakal menerima kemudahan baharu dan naik taraf fasiliti bagi memperkukuh potensinya sebagai destinasi pelancongan. Foto ADUN Kabong

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bina Baharu dan Naik Taraf Fasiliti-Fasiliti di Pantai Tanjung Kembang, Kabong dan Mesyuarat Cadangan Medan Selera dan Inap Desa Pantai Tanjung Kembang di Bilik Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.

Chee Kadir berharap keseluruhan perancangan projek berkenaan dapat berjalan lancar seperti yang dirancang, sekali gus memberikan impak positif terhadap pembangunan kawasan Pantai Tanjung Kembang.

Katanya, pembangunan tersebut bukan sahaja akan menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk dan pelancong, malah berpotensi membuka ruang lebih luas kepada masyarakat setempat untuk menjana pendapatan.

“Pembangunan ini berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi penduduk sekitar, khususnya melalui sektor pelancongan, perniagaan makanan, penginapan serta pelbagai aktiviti rekreasi,” katanya.

Beliau turut melihat projek berkenaan sebagai satu usaha penting untuk memberikan wajah baharu kepada sektor pelancongan Kabong, dengan Pantai Tanjung Kembang berpotensi menjadi antara destinasi tarikan utama di kawasan tersebut.

Menurutnya, kewujudan kemudahan yang lebih baik dan persekitaran pantai yang lebih tersusun juga dijangka mampu menyokong penganjuran pelbagai acara berskala lebih besar pada masa akan datang.

Antara acara yang berpotensi mendapat manfaat daripada pembangunan berkenaan termasuk Festival Layang-Layang Antarabangsa Kabong dan Maraton Laluan Pantai Antarabangsa Kabong yang mampu menarik penyertaan serta kunjungan dari luar kawasan.

Chee Kadir turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kelulusan peruntukan bagi menjayakan pembangunan tersebut melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi kawasan Kabong.

Beliau berkata kerjasama erat antara semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat direalisasikan dengan baik serta mencapai matlamat yang ditetapkan.

Chee Kadir berharap pembangunan Pantai Tanjung Kembang dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, membuka lebih banyak peluang kepada komuniti serta memperkukuhkan Kabong sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing di Sarawak.

Antara yang hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Pegawai Daerah Saratok, wakil Pegawai Daerah Kabong, wakil Pegawai Tadbir Khas BDDA Bahagian Betong, wakil Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, wakil Ahli Majlis Daerah Saratok serta wakil perunding dan agensi teknikal berkaitan.

Oleh Adi Safarman