Kru cedera, dua pesawat nyaris bertembung di Lapangan Terbang Sydney

Facebook
WhatsApp
PESAWAT Jetstar Airways terpaksa melakukan brek kecemasan bagi mengelak bertembung dengan pesawat Qatar Airways yang sedang ditunda di landasan Lapangan Terbang Sydney. Foto AGENSI

SYDNEY: Seorang anggota kru cedera dalam insiden nyaris bertembung membabitkan pesawat Jetstar Airways dan Qatar Airways di landasan Lapangan Terbang Sydney pada pagi Ahad, lapor Xinhua.

Penerbangan Jetstar JQ402 ke Gold Coast sedang bergerak di landasan sebelum berlepas kira-kira 7.00 pagi Waktu Piawai Timur Australia pada Ahad apabila juruterbang terpaksa membrek secara mengejut bagi mengelak bertembung dengan sebuah pesawat Boeing 777 Qatar Airways tanpa penumpang yang sedang ditunda.

Seorang kru kabin Jetstar cedera dalam kejadian itu dan menerima rawatan daripada paramedik ambulans. Tiada penumpang dilaporkan cedera.

Jurucakap Jetstar, anak syarikat milik penuh Qantas berkata syarikat penerbangan itu telah memulakan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Pesawat kami sedang mengikuti arahan Kawalan Trafik Udara apabila juruterbang terpaksa membrek dengan kuat selepas sebuah lagi pesawat berada terlalu hampir,” menurut jurucakap itu.

Kejadian itu berlaku selepas lebih 250 penerbangan dari Sydney mengalami kelewatan pada Jumaat dan Sabtu berikutan kekurangan kakitangan di Airservices Australia, yang menyediakan perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang utama Australia termasuk Sydney. – Bernama-Xinhua