SRI AMAN: Sebanyak RM366,000 disalurkan kepada 55 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelbagai organisasi di kawasan Sri Aman bagi menyokong pelaksanaan program komuniti setempat.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balai Ringin, Senator Susan Chemerai Anding, dalam satu program yang berlangsung di sini semalam.
Menurut Susan yang juga Ahli Dewan Negara, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kepimpinan setempat dalam memperkukuhkan peranan organisasi akar umbi sebagai penggerak pembangunan komuniti.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan membantu penerima melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Katanya, program yang disokong melalui bantuan berkenaan merangkumi bidang pendidikan, sukan, rekreasi, sosial, seni, kraftangan serta aktiviti kemasyarakatan.
“Setiap sumbangan yang diberikan adalah bagi membantu komuniti melaksanakan aktiviti yang bermanfaat, khususnya dalam memperkasa pendidikan, pembangunan sosial, sukan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Susan berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh JKKK, PIBG dan organisasi berkaitan bagi menjayakan pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan aktiviti di peringkat akar umbi turut penting dalam mempererat hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.
Rata-rata penerima turut menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diterima, selain menyifatkannya sebagai sokongan penting dalam memastikan pelbagai program untuk manfaat masyarakat dapat diteruskan.
Penyaluran bantuan itu sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan kepimpinan setempat bersama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam memperkasa komuniti akar umbi serta memastikan agenda pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.
Oleh Adi Safarman





