50 peratus ladang sawit musnah dalam kebakaran di Jalan Senyawan Lubuk Renit

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN di sebuah ladang sawit di Jalan Senyawan Lubuk Renit, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dengan bantuan APM dan Rela, petang semalam. Foto APM Saratok

SARATOK: Kebakaran di sebuah ladang sawit di Jalan Senyawan Lubuk Renit, di sini, berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Rela, petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota Rela pada 2.42 petang memaklumkan mengenai kejadian kebakaran di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, tiga anggota APM daripada Skuad Aspa 02 kemudian digerakkan ke lokasi pada 2.45 petang dan tiba pada 3.23 petang, kira-kira 24 kilometer dari pangkalan.

BOMBA, APM dan Rela menjalankan operasi memadam kebakaran di sebuah ladang sawit di Jalan Senyawan Lubuk Renit, Saratok, petang semalam. Foto APM Saratok

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kebakaran benar-benar berlaku di kawasan ladang sawit berkenaan dan operasi pemadaman segera dijalankan bersama pasukan bomba serta Rela,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi diketuai pasukan bomba dengan kekuatan tujuh anggota, sebuah jentera bomba dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, manakala APM turut menggerakkan tiga anggota bagi membantu operasi.

Katanya, empat anggota Rela turut berada di lokasi dengan menggunakan motosikal persendirian bagi membantu usaha memadam kebakaran dan memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan terkawal.

“Keselamatan anggota turut diberi keutamaan apabila semua anggota yang terlibat diwajibkan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan operasi,” katanya.

KEADAAN kawasan ladang sawit yang terbakar di Jalan Senyawan Lubuk Renit, Saratok, dengan kira-kira 50 peratus kawasan terbabit dilaporkan musnah. Foto APM Saratok

Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya menggunakan peralatan pemadaman api yang dibawa pasukan bomba, namun kawasan ladang sawit berkenaan dianggarkan mengalami kemusnahan sekitar 50 peratus.

“Selepas operasi selesai, anggota APM bersama agensi terlibat membuat pemeriksaan bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat dan terkawal sebelum meninggalkan lokasi,” katanya sambil menambah operasi tamat pada 4.12 petang.

Oleh Adi Safarmanz

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.