MARUDI: Joycelyn Jacob, 16, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Ratu Ikon Busana Warisan SMK Marudi 2026 selepas mengatasi 13 finalis lain pada Konsert Karnival Seni Budaya di Dewan Utama, Dewan Suarah Baram, malam tadi.
Joycelyn yang berketurunan Kelabit/Bidayuh dari Long San membawa pulang hadiah wang tunai RM500, trofi, sijil penyertaan, sash serta hadiah sampingan tajaan pelbagai syarikat.
Naib juara dimenangi Jelena Dusheyiana, 17, berketurunan Kadazan/Iban dari Rumah Siggan, Sungai Muam, yang menerima wang tunai RM400, trofi, sijil penyertaan dan hadiah sampingan.
Tempat ketiga pula dimenangi Angeline Jacy, 18, berketurunan Kenyah dari Kampung Long Loyang yang membawa pulang wang tunai RM300, trofi, sijil penyertaan dan hadiah sampingan.

Jelena turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Busana Terbaik, manakala Joycelyn dipilih sebagai Peserta Pilihan Penonton.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pertandingan berkenaan memberi ruang kepada pelajar mengetengahkan bakat, belajar bekerjasama sebagai satu pasukan, mengembangkan kreativiti serta meningkatkan keyakinan diri.
“Konsert Karnival Seni Budaya seperti ini mengingatkan diri kita mengenai pentingnya menghargai warisan unik yang perlu kita kekalkan, yang membuatkan negeri kita bangga dengan kekayaan pelbagai budaya,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan wakilnya, Penghulu Lau Kah Liang, di hadapan lebih 500 pengunjung pada majlis berkenaan.
Menurut Sebastian, program seperti itu turut dapat memupuk semangat setia kawan dan mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, pihak sekolah, komuniti, keluarga serta agensi kerajaan.

Katanya, kerjasama masyarakat, ibu bapa dan pihak sekolah dapat memberi dorongan kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa depan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, bekas pelajar SMK Marudi, ahli perniagaan tempatan, pemimpin masyarakat dan pihak berkaitan supaya terus menyokong usaha sekolah menjayakan program pada masa akan datang.
“Saya menggesa ibu bapa, bekas pelajar SMK Marudi, ahli perniagaan tempatan, pemimpin masyarakat dan pihak-pihak berkaitan meneruskan sokongan kepada pihak PIBG melalui sumbangan, penajaan, sukarelawan dan kolaborasi demi menjayakan program-program yang akan diadakan pada masa hadapan,” katanya.
Pada majlis sama, Lau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 daripada Sebastian kepada jawatankuasa penganjur SMK Marudi.
Oleh Jiku Juguong




