LUNDU: Keganasan rumah tangga tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah peribadi sesebuah keluarga, sebaliknya memerlukan keberanian masyarakat untuk bertindak bagi melindungi mangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, masyarakat khususnya ketua komuniti perlu mengambil serius aduan berkaitan keganasan rumah tangga dan mengetahui prosedur serta saluran bantuan yang tersedia.
Katanya, terdapat mangsa yang masih takut untuk tampil mendapatkan bantuan kerana bimbang berdepan kesan terhadap kehidupan keluarga, sedangkan keadaan itu boleh memberi kesan jangka panjang terutama kepada kanak-kanak.
“Kalau ada anak kita mengadu, tolonglah ambil perhatian. Ada anak mengadu, tetapi mak tidak mahu ambil kisah kerana takut apabila mengambil tindakan, dia akan ditinggalkan suami.
“Perkara seperti ini seharusnya tidak menjadi halangan kerana itu adalah anak kita. Kalau kita tidak ambil kisah terhadap apa yang anak kita beritahu, ia boleh menjadi trauma kepada anak itu sehingga dia dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2026 di Pusat Latihan SALCRA Bajo, di sini, hari ini.
Nancy berkata, program berkenaan memberi penekanan terhadap hak mangsa, saluran bantuan serta prosedur yang perlu diketahui supaya tindakan dapat diambil lebih awal sebelum seseorang menjadi mangsa keganasan.
“Orang lain tidak berhak melakukan keganasan terhadap kita. Hak ini perlu dimaklumkan kepada mereka yang menjadi mangsa.
“Kita tidak mahu apabila sudah menjadi mangsa, baru kita bertindak. Kita perlu tahu lebih awal sebelum orang lain melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap kita,” katanya.
Menurutnya, usaha menangani keganasan rumah tangga memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, komuniti, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan keluarga.
Beliau berkata, Program Wonderful Life akan dilaksanakan secara berfasa di 10 negeri yang merekodkan jumlah kes keganasan rumah tangga tertinggi bagi tempoh lima tahun.
“Kerajaan tidak mampu berjuang berseorangan. Ini merupakan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat, semuanya perlu bertindak dan bekerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata, sebanyak 7,351 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara pada 2025, manakala 4,014 kes dilaporkan sehingga Jun tahun ini.
Di Sarawak pula, katanya, sebanyak 552 kes direkodkan pada 2025 dan 298 kes sehingga Jun 2026.
“Di sebalik setiap angka, ada wanita yang hidup dalam penderitaan, ada anak-anak yang membesar dalam trauma dan ada keluarga yang sedang menanggung beban emosi.
“Sebenarnya satu kes pun merupakan satu peringatan untuk kita semua,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah laporan tidak semestinya menunjukkan peningkatan sebenar kes keganasan rumah tangga kerana ia mungkin turut dipengaruhi peningkatan kesedaran dan keberanian mangsa untuk tampil membuat aduan.
“Kadang-kadang apabila jumlah itu meningkat, kita ingat kes meningkat. Tetapi mungkin juga kerana kesedaran sudah wujud dan keberanian mula ada dalam kalangan masyarakat untuk tampil mengadu.
“Jadi, sangat subjektif untuk kita katakan kes meningkat. Ia mungkin berlaku kerana penglibatan masyarakat yang memberi sokongan sehingga mereka lebih berani ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu.
Nancy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima peruntukan RM200,000 tahun ini bagi melaksanakan Program Wonderful Life melalui peruntukan Program Penghargaan SARA 2025 yang tidak dibelanjakan atau dituntut.
Katanya, peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak.
Oleh Shikin Mahmud





