SKS Bahagian Sarikei lepasi sasaran, lebih 90,000 pengunjung direkodkan

Facebook
WhatsApp
SIDANG media bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh di Pavilion Sarawak dan Perkhidmatan, hari ini.

SARIKEI: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026 mencatat kejayaan luar jangkaan apabila merekodkan lebih 90,000 pengunjung setakat 2.00 petang hari ini, tiga kali ganda daripada sasaran asal sebanyak 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan sambutan luar biasa masyarakat terhadap program yang menghimpunkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kerajaan.

“Setakat ini, apa yang telah kita rekodkan ialah kehadiran pengunjung ke tapak SKS telah mencapai 90,000 orang.

“Sasaran asal kita hanyalah 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari. Namun sehingga 2.00 petang hari ini, kita telah mencapai 90,000 pengunjung.

“Syabas dan tahniah kepada Residen Sarikei serta seluruh pasukannya yang telah bekerja keras memastikan program ini mencapai sasaran yang diharapkan,” katanya pada sidang media di Pavilion Sarawak dan Perkhidmatan, hari ini.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan Pengerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) berkata, pelbagai pengisian sepanjang program tersebut turut mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya, majlis perasmian yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam turut mencatat kehadiran kira-kira 10,000 orang.

Katanya, faktor jaringan jalan raya dan jambatan baharu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung apabila perjalanan dari bahagian berhampiran seperti Betong, Sri Aman, Mukah dan Kapit ke Sarikei kini hanya mengambil masa sekitar dua jam.

“Apabila kesalinghubungan semakin baik, lebih ramai orang dapat hadir ke Sarikei setiap kali program besar diadakan.

“Ini menjadi antara faktor utama peningkatan kehadiran pengunjung,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Premier Sarawak kerana meluluskan beberapa permohonan penting untuk Bahagian Sarikei, termasuk penyediaan 10 mesin dialisis baharu di Hospital Sarikei bagi memudahkan pesakit dari Kuala Rajang, Belawai, Matu dan Daro mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Sibu.

Katanya, Premier Sarawak turut memberikan maklum balas positif terhadap cadangan pembinaan stadium tertutup di Sarikei, selain hasrat mewujudkan kampus CENTEXS yang menawarkan kursus berasaskan keperluan industri tempatan.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan jumlah keseluruhan pengunjung SKS Bahagian Sarikei mampu melepasi 100,000 orang menjelang tamat program berdasarkan sambutan yang terus meningkat.

Mengenai keadaan jerebu, Len Talif berkata keadaan itu berpunca daripada gabungan jerebu rentas sempadan dan pembakaran terbuka tempatan, namun aktiviti pembakaran di dalam Sarawak masih berada dalam kawalan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melanggar peraturan.

Turut hadir ialah Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong dan Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli.

Oleh Earl Anek