Taska belum diarahkan tutup, kanak-kanak dinasihat elak aktiviti luar ketika jerebu

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri ditemui pemberita selepas merasmikan Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2026 di Pusat Latihan SALCRA Bajo, Lundu, hari ini. Foto Shikin Mahmud.

LUNDU: Tiada arahan rasmi untuk menutup taska susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun, kanak-kanak di taska dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti di luar bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

“Setakat ini belum ada arahan rasmi untuk menutup taska. Cuma seperti yang biasa kita amalkan, tidak menggalakkan mereka pergi bermain di luar, sama ada di luar taska atau di luar rumah.

“Dan juga minum lebih banyak air. Kalau perlulah mereka menggunakan pelitup muka, mereka perlu. Tetapi itu bergantung pada keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2026 di Pusat Latihan SALCRA Bajo, di sini, hari ini.

Nancy berkata, orang ramai juga disaran memastikan tingkap rumah ditutup bagi mengelakkan jerebu memasuki kediaman, selain memastikan pengambilan air yang mencukupi.

Katanya, langkah itu amat penting khususnya ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan Sarawak berada pada tahap tidak sihat.

Terdahulu, berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) setakat 12.00 tengah hari, sembilan kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Kuching (154), Samarahan (156), Serian (170), Sri Aman (153), Sarikei (133), Bintulu (155), Samalaju (152), Miri (117) dan Tebedu (116).

Lundu pula merekodkan bacaan 99 pada tahap sederhana.

Oleh Shikin Mahmud