Sembilan kawasan di Sarawak catat IPU tidak sihat, Lundu sederhana

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu menyelubungi kawasan sekitar Lundu susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak, hari ini. Foto Shikin Mahmud.

LUNDU: Sebanyak sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, manakala Lundu mencatat bacaan sederhana iaitu 99 setakat 12.00 tengah hari.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Serian (170), Samarahan (156), Kuching (154), Sri Aman (153), Bintulu (155), Samalaju (152), Sarikei (133), Miri (117) dan Tebedu (116).

Sementara itu, bacaan sederhana direkodkan di Lundu (99), Mukah (95), Sibu (93), ILP Miri (92), Limbang (82), Lubok Antu (75), Kapit (73), Lawas (65) dan Bario (62).

LUNDU merekodkan bacaan IPU 99 pada tahap sederhana, manakala sembilan kawasan lain di Sarawak mencatat bacaan tidak sihat setakat 12.00 tengah hari.

Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 170, manakala Bario mencatat bacaan terendah dengan 62.

Menurut NREB, bacaan IPU antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk serta mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada peningkatan pencemaran udara.

Oleh Shikin Mahmud