Projek jalan Mentawai-Gunung Buda dijangka dimasukkan dalam SSLR Fasa Dua

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH...Hasbi menerima cenderamata daripada penduduk Kampung Meritam. .

LIMBANG: Kerajaan terus berusaha merealisasikan pembinaan jalan menuju Mentawai yang menghubungkan kawasan Gunung Buda, selepas projek berkenaan sebelum ini terbengkalai susulan masalah kontrak.

Projek itu pada asalnya dimasukkan dalam pelaksanaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) yang kini giat dibina.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek berkenaan amat penting dalam memacu sektor pelancongan di utara Sarawak, khususnya dengan menghubungkan Limbang ke kawasan Gunung Buda.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan projek jalan berkenaan gagal memberikan komitmen sehingga menyebabkan projek terbengkalai dan kontrak ditamatkan.

“Bila bercerita mengenai pelancongan ini, sebenarnya usaha telah pun saya buat. Sebab itu dulu ada pembinaan jalan menuju ke Mentawai dengan kos lebih RM100 juta.

“Tapi malangnya kontraktor cabut lari hinggakan projek terbengkalai macam itu, hinggakan kontrak ditamatkan.

“Nak minta peruntukan lagi bukan senang. Itu cerita berapa tahun dulu, belum COVID lagi. Sekarang nak minta bukan senang dan tidak semudah itu dengan harga makin mahal.

“Saya terus terang, nak kata kecewa, memang saya kecewalah. Bukan senang nak dapat duit RM100 juta lebih untuk projek tersebut,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Pesta Lumpur Bebuak 2026 di Lumpur Bebuak, Kampung Meritam, di sini semalam.

Hasbi berkata, usaha untuk menghidupkan semula projek jalan yang menghubungkan Bawang Ubor, Mentawai hingga Gunung Buda dijangka dimasukkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan SSLR Fasa Dua.

Menurutnya, kerajaan akan terus memperjuangkan penyediaan kemudahan berkenaan bagi membantu membawa masuk sumber ekonomi menerusi sektor pelancongan ke Daerah Limbang.

Katanya, projek jalan Mentawai itu dirancang bagi memudahkan akses pelancong ke kawasan Gunung Buda sekali gus merancakkan sektor pelancongan tempatan.

“Potensi Gunung Buda akan dibangunkan sebagai daya tarikan pelancongan utama dengan membina akses jalan raya yang menghubungkan destinasi pelancongan terkemuka itu dengan dunia luar,” katanya.

Oleh Adeng Edrus