KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 59 tahun mengalami kerugian RM145, 247 selepas terpedaya dengan tawaran kerja subkontrak projek yang didakwa dianugerahkan kepada sebuah syarikat pembinaan dan pendawaian di Sabah.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga anak Chabu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes penipuan secara bersemuka itu pada 8 Ogos lalu.
Menurutnya, mangsa diperkenalkan kepada suspek oleh seorang kenalannya pada penghujung Disember 2025.
“Suspek dipercayai memperkenalkan dirinya sebagai individu yang mempunyai hubungan serta kuasa untuk menguruskan kerja bagi salah sebuah syarikat pembinaan dan pendawaian di Sabah.
“Suspek turut mendakwa syarikat berkenaan telah dianugerahkan satu projek SES sebelum menawarkan kerja tersebut secara subkontrak kepada syarikat milik mangsa khususnya bagi kawasan Ranau, Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kemudian meminta beberapa bayaran daripada mangsa atas pelbagai alasan termasuk ‘fi penguncian’ (locking fees), kos sewaan peralatan, pembayaran gaji pekerja, mobilisasi dan perbelanjaan tapak.
“Akibat terpedaya dengan tawaran berkenaan, mangsa membuat lima transaksi pembayaran antara 2 hingga 14 Januari 2026 ke dalam empat akaun bank berbeza.
Keseluruhan kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM145, 247.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan harta.
“Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda,” jelasnya.
Dalam pada itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang tawaran kerja yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terhadap nombor akaun atau telefon yang mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule PDRM.
Sekiranya menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan mengalami kerugian, orang ramai dinasihatkan menghubungi talian hotline National Scam Response Centre (NSRC) di 997 dalam tempoh 24 jam.
Sebarang aktiviti mencurigakan juga boleh dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melalui talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my.





