Lori muatan sawit terbalik, minyak tumpah di bulatan Jambatan Batang Samarahan

Facebook
WhatsApp
KEADAAN sebuah lori sawit dari Sebuyau terbalik dalam kemalangan sendiri di bulatan berhampiran Jambatan Batang Samarahan. Foto Masrin Affirah

KOTA SAMARAHAN: Sebuah lori muatan sawit dari Sebuyau terbalik dalam kemalangan sendiri di bulatan berhampiran Jambatan Batang Samarahan, hari ini, menyebabkan berlaku tumpahan minyak di lokasi kejadian.

Seorang saksi berusia 28 tahun berkata, dia berhenti di bulatan berkenaan untuk menghisap rokok sebelum tiba-tiba melihat lori berkenaan terjatuh. 

PBK I Lydia Mohammad Sarkawi, Pasukan dari BBP Kota Samarahan bercakap ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak. Foto Masrin Affirah

Menurut  PBK I Lydia Mohammad Sarkawi, Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan menerima panggilan sekitar 10.00 pagi berhubung kejadian tumpahan minyak sebelum bergegas ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati lori berkenaan dalam keadaan terbalik selepas terbabit dalam kemalangan sendiri.

“Seorang pemandu lori berusia 34 tahun terselamat dan cedera ringan dibawa ke hospital oleh pasukan  Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (EMRS),” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak, hari ini.

KERJA pembersihan kemalangan yang melibatkan lori sawit dari Sebuyau di bulatan berhampiran Jambatan Batang Samarahan. Foto Masrin Affirah

Mengulas lanjut, operasi tersebut melibatkan sebanyak enam anggota BBP Kota Samarahan, sebuah unit EMRS dan sebuah jentera bomba.

Operasi turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan di lokasi kejadian.

Oleh Masrin Affirah