SIBU: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) bercadang membina sebuah kompleks ibu pejabat baharu yang disasarkan menjadi bangunan ikonik di Petra Jaya bagi memenuhi keperluan kemudahan sukan, rekreasi dan ruang acara yang semakin meningkat.
Presidennya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cadangan itu sejajar dengan aspirasi Saberkas yang kini memasuki usia penubuhan 53 tahun dan memerlukan sebuah kompleks yang lebih besar serta moden.
“Kita melihat kepada sesuatu yang lebih besar kerana terdapat permintaan tinggi terhadap kemudahan rekreasi dan sukan, selain ruang yang boleh digunakan untuk majlis perkahwinan dan pelbagai acara lain.
“Atas sebab itu, Saberkas berhasrat membangunkan kompleks ibu pejabat baharu yang mampu memenuhi keperluan tersebut,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Selamat Datang sempena Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) Saberkas Sarawak Ke-18 di sini, malam tadi.
Abdul Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, sebuah lokasi di Petra Jaya telah dikenal pasti dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan Jabatan Tanah dan Survei berhubung proses kelulusan serta urusan pemilikan tanah.
Beliau berkata kedudukan kewangan Saberkas yang semakin kukuh memberi keyakinan kepada pertubuhan itu untuk merealisasikan projek berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa cadangan itu masih di peringkat awal dan butiran lanjut termasuk reka bentuk serta kos pembinaan hanya akan diumumkan selepas mendapat persetujuan kerajaan negeri.
“Peringkat ini masih di fasa awal dan kami perlu berbincang dengan kerajaan negeri. Selepas perkara ini dipersetujui dan dimuktamadkan, barulah gambaran projek serta kosnya dapat dikongsikan kepada umum dan media,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim menggesa perwakilan yang menghadiri TGM Saberkas memilih barisan kepimpinan yang berwibawa serta mampu mengurus kewangan pertubuhan secara berhemah bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata kekuatan kewangan yang dimiliki Saberkas ketika ini merupakan aset penting yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab demi menjamin kesinambungan pertubuhan.
TGM Saberkas Sarawak Ke-18 mencatat penyertaan terbesar setakat ini dengan 82 cawangan menghantar perwakilan dan pemerhati, melibatkan kehadiran keseluruhan 411 orang selain 66 ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) dan jemputan khas.
Turut hadir, Setiausaha Agung Saberkas merangkap ADUN Daro, Safiee Ahmad; Timbalan Presiden Saberkas merangkap Timbalan Menteri Belia Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Naib Presiden Saberkas merangkap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee; serta Naib Presiden Saberkas merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.





