SELANGAU: Seramai 55 murid Tahap Dua dari tujuh sekolah rendah di Zon 4 Daerah Selangau telah menyertai Program Intelek Asuhan Rohani (Kem Pintar 2.0).
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bawang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau itu berlangsung selama dua hari dan berakhir petang semalam.
Penyertaan melibatkan murid dari SK Sungai Bawang, SK Sungai Kemena, SK Sungai Tau, SK Bukit Arip, SK Ulu Sungai Arip, SK Kuala Pelugau dan SK Iban Union.
Penganjuran kem tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah seawal peringkat persekolahan.
Inisiatif itu juga dapat membina daya tahan (resilien) diri murid agar berupaya menolak sebarang gejala sosial secara teguh.
Antara modul interaktif dilaksanakan sepanjang perkhemahan merangkumi sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pameran antidadah, tayangan video kesedaran, permainan interaktif, aktiviti eksplorasi, serta lafaz Ikrar Anak Pintar.
Majlis penangguhan telah disempurnakan oleh wakil Pegawai PPD, Jeremaiah Linggi Meruda.
Turut hadir, wakil Ketua Daerah AADK, Mohamad Farizal Mohamad Buang, Guru Besar SK Kuala Pelugau, Nyelang Papu, Penolong Kanan Pentadbiran SK Sungai Bawang Joannes Lia Kunya, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Sungai Bawang, Mustahid Abdul Karim serta yang lain.
Oleh Akun Giman




