SARIKEI: Kebakaran belukar seluas sekitar lima ekar berhampiran sebuah rumah di Jalan Haruan berjaya dipadam menerusi operasi hampir empat jam membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei, semalam.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 1.30 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai oleh komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dingat Ngadi bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran belukar seluas sekitar lima ekar di hadapan rumah pemanggil,” katanya ketika dihubungi pada malam tadi.
Katanya, turut hadir memadam kebakaran belukar ialah 15 anggota APM Sarikei.
“Penilaian awal segera dilakukan bagi menentukan kaedah pemadaman yang sesuai, mengambil kira keluasan kawasan yang terbakar dan kedudukannya berhampiran kediaman.
“Anggota bomba bertindak menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan sumber air daripada pili bomba dan pam jentera untuk memadam kebakaran sehingga berjaya,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan api dapat dikawal dan tidak merebak ke kawasan berhampiran.
“Kerjasama anggota APM Sarikei turut membantu melancarkan operasi terutama dalam menangani kebakaran yang melibatkan kawasan belukar yang luas.
“Operasi memadamkan kebakaran ditamatkan sepenuhnya pada 5.25 petang selepas memastikan kebakaran berjaya dipadam dan keadaan di lokasi selamat,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





