NIBONG TEBAL: Inisiatif pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi ‘Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mahir’ membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan persekolahan anak-anak.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu keluarga mendapatkan keperluan persekolahan dengan lebih mudah, tetapi juga membuka peluang pendapatan serta memperkasakan usahawan tempatan yang dibimbing oleh NADI.
“Antara yang menarik perhatian saya ialah inisiatif pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi ‘NADI Mahir’ dan sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal, saya melihat ini sebagai antara program yang sangat baik untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Nibong Tebal di sini hari ini.
Pakaian sekolah itu dijahit oleh 120 alumni NADI Mahir Jahit yang telah mengikuti kursus kemahiran menerusi Perkhidmatan Pintar NADI dan kini berjaya melangkah sebagai usahawan.
Fadhlina berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan menerusi NADI memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat termasuk Program NADI Tuisyen Rakyat, e-sukan, latihan kemahiran serta program keusahawanan.
Dalam aspek pendidikan, Program NADI Tuisyen Rakyat telah disertai lebih 42,000 pelajar di seluruh negara dan melahirkan 65 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, manakala lebih 73 pelajar di Nibong Tebal telah menyertai program berkenaan.
Beliau berkata penglibatan golongan muda menerusi NADI E-Sukan juga menjadi antara platform untuk mencungkil bakat serta meningkatkan keyakinan dan semangat berpasukan dalam kalangan belia.
Fadhlina berkata antara pencapaian NADI di Parlimen Nibong Tebal ialah muncul Juara NADI E-Sukan MADANI Mobile Legends Peringkat Kebangsaan, Naib Juara Peringkat Negeri Pulau Pinang serta meraih tempat kedua Pertandingan Cooking Star Peringkat Negeri Pulau Pinang.
NADI turut menyediakan pendedahan berkaitan kecerdasan buatan (AI) menerusi pelbagai program termasuk inisiatif 1 NADI 1 Prompt Engineer yang setakat ini disertai 11 peserta di Nibong Tebal.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Bukhari Yahya. – Bernama




