Sarawak perkasa teknologi, inovasi pacu pembangunan menjelang 2030

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap di Program SKS Bahagian Sarikei 2026.

SARIKEI: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan berteraskan teknologi, inovasi dan infrastruktur bagi memastikan negeri ini setanding dengan negara maju menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara perancangan utama kerajaan Sarawak ialah membangunkan dan melancarkan satelit mini atau CubeSat milik sendiri ke angkasa lepas bagi menyokong pengurusan sumber asli dan pembangunan negeri.

“Kita hendak membina satelit. Satelit itu akan dilancarkan ke angkasa lepas dan dimiliki oleh orang Sarawak.

“Satelit ini dikenali sebagai CubeSat ataupun nanosatelit. Saiznya kecil dan cara pelancarannya berbeza kerana ia menggunakan kapal terbang. Kapal terbang akan membawa satelit ke altitud tertentu sebelum satelit dilepaskan ke orbit.

“Satelit ini akan menggambarkan sumber alam di bumi. Termasuklah kerja Jabatan Tanah dan Survei menggunakan satelit dan sebab itu kaedahnya bertukar dari sekarang hingga ke 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

Katanya, penggunaan teknologi angkasa merupakan antara langkah strategik kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan berasaskan data dan teknologi moden.

Dalam sektor pertanian pula, Abang Johari berkata, kerajaan negeri terus memperkenalkan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti, termasuk pembangunan varieti nanas SG1 yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh kira-kira lapan bulan berbanding 14 bulan bagi varieti biasa.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memotong kek hari lahirnya di majlis perasmian Program SKS Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

“Nanas selalunya mengambil masa 14 bulan untuk menghasilkan buah. Sekarang nanas baharu SG1 hanya mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk berbuah. Semua ini hasil teknologi dan pendekatan baharu.

“Sebab itulah jurusan yang kita pilih hari ini berasaskan teknologi kerana ekonomi kita mesti setanding dengan negara maju,” katanya.

Tambahnya, Sarawak juga mencatat pencapaian besar dalam pembangunan infrastruktur apabila berjaya membina pelbagai jambatan utama dalam tempoh enam tahun.

“Jambatan terpanjang di Malaysia merentasi sungai adalah di Sarawak, Batang Lupar. 

“Binaannya boleh tahan macam di negeri maju. Jambatan Muara Lassa pula adalah jambatan kedua terpanjang di Malaysia merentasi sungai. 

“Belum campur dengan Batang Paloh dan Batang Rajang. Bermakna kita di kawasan Rajang ini semua telah dihubung dengan pelaburan yang tinggi,” katanya lagi.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak kini mempunyai hala tuju yang jelas bagi memacu pembangunan Sarawak menjelang 2030 dan seterusnya, dengan penekanan terhadap teknologi, inovasi, pendidikan, pertanian moden dan infrastruktur sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi masa depan.

Oleh Earl Anek