SARIKEI: Hutan paya bakau di Bahagian Sarikei bakal menjadi antara aset ekonomi baharu Sarawak menerusi peranannya sebagai kawasan simpanan karbon yang menyokong perdagangan karbon di samping memperkukuh pembangunan sektor pelancongan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bahagian Sarikei mempunyai keunikan tersendiri kerana memiliki kawasan hutan paya bakau yang luas dan ia memberikan kelebihan kepada Sarawak dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta meneroka peluang ekonomi hijau.
“Bahagian Sarikei agak unik kerana mempunyai banyak kawasan hutan paya bakau. Kawasan ini sangat penting sebagai kawasan simpanan karbon.
“Dalam ekonomi global hari ini yang dipengaruhi perubahan iklim, Sarikei mempunyai satu aset penting iaitu Taman Negara Hutan Paya Bakau yang boleh menjadi kaedah menyimpan karbon dan membolehkan kita terus memainkan peranan dalam perdagangan karbon,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei, hari ini.
Katanya, Sarawak mempunyai antara kawasan hutan paya bakau terbesar di Malaysia, sekali gus memberikan kelebihan kepada negeri ini berbanding negeri-negeri lain.
Tambahnya, kerajaan Sarawak akan terus memelihara kawasan hutan paya bakau tersebut dan tidak akan mengorbankannya bagi tujuan pembangunan pertanian kerana kawasan itu mempunyai nilai ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan.
“Kita akan menjaga kawasan hutan paya bakau ini. Untuk pertanian, kita ada kawasan lain.
“Kita tidak akan mengambil kawasan yang mempunyai potensi dalam ekonomi baharu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kawasan Belawai akan menjadi antara fokus pembangunan pelancongan di Bahagian Sarikei berikutan potensinya yang besar untuk menarik lebih ramai pelancong.
Katanya, kerajaan Sarawak turut merancang memanjangkan landasan Lapangan Terbang Tanjung Manis bagi membolehkan pesawat ATR mendarat, selain memperoleh enam pesawat ATR baharu yang diubah suai susun atur dalamannya bagi memenuhi keperluan pelancongan.
“Kita juga merancang membangunkan padang golf serta kemudahan penginapan bagi menarik lebih ramai pelancong, khususnya dari Korea dan Jepun,” katanya lagi.
Jelasnya, limpahan pembangunan pelancongan tersebut dijangka memberi manfaat kepada kawasan lain di Bahagian Sarikei, termasuk Julau yang mempunyai pelbagai tarikan unik untuk diterokai pelancong.
“Jadi, untuk 2026 hingga 2032, perancangan ini akan kita laksanakan dan selepas itu saya rasa ia akan menghasilkan kegiatan ekonomi baharu untuk Bahagian Sarikei selain daripada pertanian.
“Yang penting adalah perpaduan masyarakat di Bahagian Sarikei ini supaya kita membangun seluruh Sarawak,” ujarnya.
Katanya lagi, Program Sarawakku Sayang (SKS) turut menjadi platform bagi kerajaan Sarawak mendapatkan maklum balas terkini daripada rakyat untuk menilai kedudukan semasa negeri serta menyesuaikan dasar pembangunan menjelang 2030 dan seterusnya.
Oleh Earl Anek




