KUCHING: Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak mengingatkan rakyat negeri itu untuk menukar Jalur Gemilang yang lusuh dan koyak kepada bendera baharu serta mengibarkannya di kediaman masing-masing dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan tahun ini.
Pengarah JAPEN Sarawak Sabri Said berkata penggunaan bendera Malaysia yang kemas dan bersih mencerminkan keazaman rakyat untuk terus memelihara serta menghormati keamanan negara selama ini.
“Kepada komuniti atau individu yang telah berbulan-bulan memasang Jalur Gemilang sehingga bendera itu lusuh, diharapkan mereka dapat menukarnya sebagai satu cerminan untuk kita mengembalikan tekad dan keazaman untuk terus memelihara kemerdekaan kita.
“Ia juga mencerminkan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk sentiasa mencintai tanah air,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Program Jiwa@Komuniti sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Tadika Adinda di sini hari ini.
JAPEN Sarawak, menurut beliau juga melaksanakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bagi menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di pelbagai premis termasuk kediaman, sekolah dan pejabat.
Sabri berkata pihaknya akan terus merancakkan inisiatif hebahan bergerak atau Info On Wheels (IOW) di kesemua daerah di Sarawak untuk mempromosikan HKHM 2026 kepada masyarakat.
Berhubung program hari ini, beliau berkata penganjuran yang melibatkan ibu bapa dan kanak-kanak tadika itu dimeriahkan dengan pelbagai acara antaranya pengibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu kemerdekaan dan aktiviti mewarna bertujuan memupuk semangat patriotisme. – Bernama




