Dua suspek culik di Alor Setar maut berbalas tembakan, dua mangsa selamat

Facebook
WhatsApp
DUA SUSPEK CULIK MAUT... Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, malam tadi. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dua suspek dipercayai warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis ketika operasi menyelamatkan dua mangsa culik dijalankan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah, malam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejadian kira-kira 8.40 malam itu berlaku apabila suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Khas (D9) JSJ Bukit Aman.

“Pasukan serbuan telah membalas tembakan untuk menyelamatkan diri sehingga tiada ancaman keselamatan. Kedua-dua suspek disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan pada kira-kira 9.30 malam, dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua mangsa yang diselamatkan ialah seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia lingkungan 70-an dan 30-an, yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari.

Kumar berkata polis turut menemukan pistol separa automatik jenis Beretta yang mengandungi lima butir peluru, sepucuk revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran kedua-dua penjenayah.

Susulan kejadian itu, beliau berkata beberapa serbuan berasingan dilancarkan dan polis berjaya menahan enam individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 40-an di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) akta sama kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya.

Kumar berkata kes masih pada peringkat siasatan dan menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta sehingga mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.

“Satu sidang media berhubung insiden ini akan diadakan pada 10 Ogos (Isnin),” katanya.- Bernama