DARO: Proses tender projek baik pulih dan penyelengharaan RC Pontoon Sungai Passin Daerah Matu disasarkan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung bulan ini bagi membolehkan kerja menaik taraf kemudahan itu dimulakan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam sesi perbincangan dan penetapan skop kerja bagi projek berkenaan di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, semalam.
Menurutnya, sesi berkenaan penting bagi meneliti dan memuktamadkan skop kerja supaya pelaksanaan projek dapat dilakukan secara terancang, berkesan serta memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Kita menyasarkan proses tender dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada penghujung Ogos ini supaya kerja-kerja menaik taraf dapat dimulakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata, RC Pontoon Sungai Passin merupakan kemudahan penting kepada penduduk setempat yang bergantung kepadanya bagi urusan pergerakan serta aktiviti harian.
Justeru, katanya, pelaksanaan kerja baik pulih dan penyelenggaraan kemudahan berkenaan perlu diberi keutamaan bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna.
“Projek ini bukan sahaja penting dari aspek keselamatan dan perhubungan, malah turut menyokong kelancaran aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Turut hadir Jurutera Daerah JKR Matu Daro, Faizol Hassim, serta wakil Pegawai Daerah Matu, Noorkasmawati Kassim.
Oleh Akun Giman





