Rumah pekerja 12 pintu musnah dalam kebakaran di ladang kelapa sawit

Facebook
WhatsApp
MUSNAH...Keadaan rumah pekerja musnah keseluruhan dalam kebakaran yang berlaku di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Baram di Miri, awal pagi tadi.

MIRI: Sebuah rumah pekerja 12 pintu di sebuah ladang kelapa sawit, Kuala Baram, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.40 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi.

ANGGOTA bomba kemudiannya menjalankan kerja pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi bara atau punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Jentera tiba di lokasi pada 4.35 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah pekerja 12 pintu berstruktur tidak kekal dengan keluasan keseluruhan 144 x 24 kaki persegi.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan struktur berkenaan dengan anggaran kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KEBAKARAN memusnahkan keseluruhan struktur rumah pekerja.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.42 pagi dan anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi bara atau punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Liong Chai Ling