Sarawak anjur IDECS 2026 Oktober ini

Facebook
WhatsApp
IDECS 2026 bakal menghimpunkan pemain industri digital dengan tema ekonomi tanpa sempadan.

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang kesembilan akan berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), bertemakan ‘Memperluas Ekosistem Inovasi untuk Ekonomi Tanpa Sempadan: Dari Bumi ke Orbit dan Seterusnya.’

Timbalan Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr Suhaila Jaffar berkata Anugerah Ekonomi Digital (DEA) 2026 akan diadakan bersempena persidangan itu, dengan majlis penyampaian anugerah dijadual berlangsung pada majlis makan malam gala IDECS 2026.

“DEA 2026 berhasrat untuk mengiktiraf organisasi dan individu atas inisiatif yang menyumbang kepada transformasi digital, kemampanan serta pertumbuhan inklusif selaras dengan agenda ekonomi digital Sarawak.

“Tujuh kategori anugerah akan dipertandingkan iaitu Anugerah Teknologi Digital, Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, Anugerah Inovasi Kecerdasan Buatan (AI), Anugerah Kerajaan Digital, Anugerah Industri Kreatif Digital, Anugerah Kelestarian Alam Sekitar dan Anugerah Penyelesaian Pintar,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media SMA di sini malam ini.

Beliau berkata pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000 manakala penerima Anugerah Premier akan membawa pulang RM20,000.

Permohonan bagi DEA 2026 dibuka sehingga 6 September dan perlu dihantar secara dalam talian menerusi laman sesawang digitaleconomyawards.com, katanya.

Beliau menyeru individu dan organisasi yang layak untuk menyertai anugerah itu, yang dianjurkan kerajaan Sarawak melalui SMA sebagai sebahagian daripada program sempena IDECS 2026.- Bernama