SPAOH: Para penternak ayam kacukan diingatkan supaya mengamalkan pengurusan ladang yang baik, termasuk menyediakan reban mengikut kapasiti ternakan serta menitikberatkan aspek biosekuriti bagi menjamin kesihatan dan kualiti ternakan sekali gus memastikan industri itu terus berkembang secara mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah tersebut penting dalam usaha memperkukuh industri ayam kacukan dan menjadikan Bukit Saban sebagai antara pembekal utama ayam kacukan di Sarawak.
Beliau berasa gembira melihat kesungguhan para penternak dalam mengusahakan perusahaan ayam kacukan yang disifatkan mempunyai potensi besar sebagai sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar.
“Saya berasa gembira melihat kesungguhan para peserta mengusahakan penternakan ayam kacukan. Dengan komitmen dan usaha yang berterusan, saya yakin bidang ini mampu berkembang sebagai antara sumber pendapatan utama masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi libat urus bersama 26 penternak ayam kacukan di Bukit Saban yang dianjurkan Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, hari ini.
Program itu turut dihadiri Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni; Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong, Tony Malang; serta Pengurus Projek GWG Debak Station, Low Kok Leong.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban dalam pada itu menegaskan bahawa aspek pengurusan ladang tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi faktor utama dalam menghasilkan ternakan yang sihat, berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran.
Beliau turut mengingatkan para penternak supaya memastikan reban dibina mengikut kapasiti ternakan yang sesuai selain mengamalkan langkah biosekuriti secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.
Perbincangan tersebut turut memberi tumpuan kepada strategi memperkasa industri ayam kacukan meliputi pembangunan baka anak ayam, peningkatan kapasiti pengeluaran, rantaian bekalan, pemasaran serta penyediaan infrastruktur sokongan.
Selain itu, cadangan pembinaan sebuah pusat penyembelihan ayam (slaughterhouse) di Bukit Saban turut dibincangkan bagi melengkapkan rantaian industri melalui proses penyembelihan dan pemprosesan yang lebih sistematik, cekap serta mematuhi piawaian ditetapkan.
Pada sesi itu, para penternak turut membangkitkan keperluan mendapatkan bekalan makanan ayam dan baja yang berkualiti, selain isu gangguan haiwan perosak yang menjejaskan tanaman jagung dan ubi sebagai sumber makanan ternakan.
Uggah berkata, pembangunan sektor ayam kacukan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada peningkatan jumlah ternakan, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan ekosistem daripada pembangunan baka anak ayam, penternakan, pemprosesan sehingga pemasaran.
“Saya berharap para penternak memberi tumpuan yang lebih serius kepada perusahaan ini kerana prospeknya amat cerah.
“Kita perlu membangunkan ekosistem yang lengkap supaya lebih banyak nilai dapat diwujudkan di peringkat tempatan serta meningkatkan pulangan kepada para penternak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa komitmen para penternak, sokongan berterusan kerajaan serta kerjasama erat semua agensi berkaitan amat penting bagi merealisasikan sasaran menjadikan Bukit Saban sebagai antara pembekal utama ayam kacukan di Sarawak.
Menurut beliau, kewujudan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLPort) Bebuling di Spaoh dijangka membuka akses pasaran yang lebih luas kepada pengusaha tempatan.
“Ia sekali gus memperkukuh sekuriti makanan, meningkatkan daya saing industri ayam kacukan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar menerusi pembangunan ekosistem penternakan yang menyeluruh,” jelasnya lagi.
Oleh Adi Safarman




