PETRA JAYA: Budaya integriti, tadbir urus yang baik dan profesionalisme perlu terus diperkukuh bagi memastikan industri pembinaan negara mampu melaksanakan projek berkualiti, selamat dan mampan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, aspek tersebut menjadi teras penganjuran Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam industri pembinaan.
Menurut beliau, program itu bukan kali pertama dianjurkan, namun usaha mengingatkan pemain industri mengenai kepentingan integriti, disiplin, ketelusan dan akauntabiliti perlu diteruskan dari semasa ke semasa.
“Tema Memperkasa Integriti, Mentransformasi Industri Pembinaan amat bertepatan kerana integriti kini menjadi asas penting kepada penyampaian projek yang berkualiti, selamat dan mampan.
“Industri pembinaan amat penting dalam pembangunan negara kerana ia berkait rapat dengan pembangunan fizikal dan bukan fizikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, di sini, hari ini.
Nanta berkata, kejayaan sesuatu projek tidak boleh diukur berdasarkan kepantasan pelaksanaannya semata-mata, sebaliknya perlu disiapkan mengikut jadual, dalam lingkungan kos yang ditetapkan, memenuhi spesifikasi serta standard kualiti selain memberi nilai terbaik kepada rakyat.

Katanya, semua itu memerlukan tadbir urus yang baik dengan setiap keputusan dibuat secara telus, sumber diurus secara bertanggungjawab serta setiap pihak melaksanakan amanah dengan penuh akauntabiliti.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) kekal komited memperkukuh budaya integriti selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001 (ABMS), kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengukuhan Unit Integriti serta pelaksanaan ‘Dasar Tiada Hadiah’.
“Integriti bukan tanggungjawab kontraktor semata-mata, tetapi melibatkan pegawai perolehan, perunding, pembekal, penyelia projek, agensi pelaksana, badan kawal selia dan pembuat keputusan.
“Justeru, usaha mencegah rasuah perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada penguatkuasaan, tetapi juga kepada pengukuhan sistem yang mengurangkan ruang dan peluang berlakunya salah laku,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis, Nanta berkata sambutan terhadap IECONS 2026 amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 900 pemain industri pembinaan dari seluruh negara.
Beliau berkata, kehadiran itu membuktikan kesedaran pemain industri terhadap kepentingan integriti dan tadbir urus yang baik terus meningkat.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pemain industri yang hadir serta SPRM yang turut bekerjasama menjayakan seminar ini.
“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap CIDB, kita akan terus mentransformasikan industri pembinaan supaya lebih profesional dengan mengutamakan integriti, akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud





