Integriti kini aset ekonomi, tarik keyakinan pelabur – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika hadir merasmikan Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Integriti kini bukan sekadar nilai moral, sebaliknya menjadi aset ekonomi dan kelebihan strategik dalam menarik keyakinan pelabur ke Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabur pada masa ini tidak lagi menilai kemudahan fizikal semata-mata sebelum membuat keputusan pelaburan.

Menurut beliau, kekuatan institusi, ketelusan proses, kestabilan dasar serta tahap integriti sesebuah destinasi turut menjadi pertimbangan penting dalam kalangan pelabur.

“Hari ini, pelabur tidak lagi melihat kemudahan fizikal semata-mata. Mereka turut menilai kekuatan institusi, ketelusan proses, kestabilan dasar serta tahap integriti sesebuah destinasi pelaburan.

“Oleh sebab itu, Sarawak akan terus memperkukuh budaya tadbir urus yang baik kerana integriti kini merupakan satu kelebihan strategik dalam ekonomi global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, integriti membina kepercayaan, manakala kepercayaan mampu menarik pelaburan, memperkukuh keyakinan industri serta mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Katanya, prinsip integriti perlu terus menjadi panduan dalam setiap keputusan ketika Sarawak melaksanakan pelbagai projek strategik melibatkan infrastruktur, tenaga, pengangkutan moden, ekonomi digital, pembangunan bandar serta keterhubungan antara wilayah.

“Usaha memperkukuh budaya integriti itu selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang memberi penekanan kepada pengukuhan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

“Ukuran sebenar pembangunan bukan sekadar berapa banyak projek yang berjaya dilaksanakan atau seberapa pantas sesuatu pembangunan disiapkan, tetapi sejauh mana ia dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, semakin besar projek pembangunan yang dilaksanakan, semakin besar tanggungjawab semua pihak untuk memastikan setiap proses dijalankan dengan penuh integriti dan akauntabiliti.

Beliau berkata, industri pembinaan melibatkan pelaburan bernilai tinggi, proses perolehan, aspek teknikal, pengurusan kontrak serta pelbagai pihak berkepentingan.

Justeru, integriti dalam industri itu bukan sahaja penting bagi mengelakkan ketirisan, malah menjamin kualiti, keselamatan, kecekapan serta nilai terbaik kepada rakyat.

“Setiap jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, sistem pengangkutan dan kemudahan awam yang dibina bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang,” katanya.

Abang Johari berkata, tanggungjawab memelihara integriti melibatkan semua pihak dalam rantaian pembangunan, termasuk kontraktor, perunding, pembekal, pegawai teknikal dan agensi pelaksana.

Katanya, persaingan dalam industri pembinaan perlu berasaskan merit, keupayaan, inovasi dan kualiti, manakala kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan siapnya sesebuah struktur.

Sebaliknya, projek itu perlu turut dinilai berdasarkan nilai, impak serta manfaat yang diberikan kepada rakyat.

“Integriti tidak boleh bergantung semata-mata kepada tindakan penguatkuasaan selepas sesuatu berlaku.

“Sebaliknya, integriti perlu dibina melalui sistem yang kukuh, proses yang telus, kepimpinan yang berprinsip serta budaya organisasi yang mengutamakan amanah dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh tadbir urus menerusi pendigitalan proses perolehan, peningkatan sistem audit, pengurusan risiko yang lebih baik serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak telah mewujudkan sistem Ombudsman bagi memperkukuh tadbir urus dalam perkhidmatan awam.

“Sarawak sudah mempunyai Ombudsman dan kita latihkan pegawai-pegawai kita bersama dengan SPRM, dan pegawai-pegawai kita diletakkan di semua agensi kerajaan.

“Melalui Ombudsman, kita mahu memberi penekanan serius kepada laporan audit. Kadang-kadang teguran dalam laporan audit tidak diambil kira. Inilah kelemahan yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, industri pembinaan Sarawak turut disaran bergerak seiring perubahan teknologi global dengan memanfaatkan sistem pengurusan projek bersepadu, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), automasi serta analitik data.

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan risiko dan memperkukuh proses membuat keputusan dalam pelaksanaan projek.

“Transformasi industri pembinaan bukan sahaja berkaitan dengan membina lebih banyak projek, tetapi juga bagaimana kita membina dengan lebih pintar, lebih cekap dan lebih mampan,” katanya.

Abang Johari berkata, integriti bukan penghalang kepada pembangunan, sebaliknya menjadi asas yang memperkukuh pembangunan melalui peningkatan keyakinan, kecekapan dan manfaat berpanjangan kepada rakyat.

“Sarawak akan terus bergerak maju dengan penuh keyakinan. Kita akan membina dengan lebih pantas, tetapi pada masa yang sama kita akan membina dengan lebih baik, lebih telus dan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.

Keluasan Selangau tuntut DUN baharu

SIBU: Cadangan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu Bukit Arip di bawah Parlimen Selangau wajar diberi perhatian serius dalam