Gangguan internet serius di Lawas perlu diatasi segera

Facebook
WhatsApp
KONGSI MAKLUMAT...Awang Tengah ketika singgah di pasar pekan Trusan sempat berkongsi masalah internet di Lawas kepada Liwan.

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mahu masalah gangguan internet yang berlarutan di Lawas sini diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran urusan harian rakyat serta perkhidmatan digital kerajaan.

Beliau menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang, ketika sesi bertemu mesra bersama masyarakat di Pasar Pekan Trusan, hari ini.

Menurut Awang Tengah, beliau menerima banyak aduan berhubung gangguan internet yang serius, khususnya di kawasan Banting yang menempatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas serta beberapa institusi pendidikan.

“Saya dimaklumkan mengenai masalah internet yang teruk di Lawas, terutama di kawasan Banting yang menempatkan IPD Lawas dan kawasan sekolah.

AWANG Tengah menggesa masalah gangguan internet di Lawas diselesaikan segera.

“Gangguan ini turut menjejaskan penggunaan aplikasi seperti SKAS dan SARA yang digunakan rakyat untuk mendapatkan bantuan kerajaan bagi membeli barangan keperluan di premis terpilih.

“Justeru, saya memohon Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi agar menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan.

Beliau berkata, gangguan internet berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana ia bukan sahaja menjejaskan penggunaan aplikasi digital, malah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi yang semakin bergantung kepada capaian internet yang stabil.

Terdahulu, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, turut membangkitkan isu sama dan memaklumkan bahawa beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri Komunikasi di peringkat Persekutuan untuk tindakan lanjut.

Oleh Adeng Edrus