Keperibadian Saidatina Khadijah jadi inspirasi wanita Islam membina ummah

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN kenangan Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang mewakili ADUN Kalaka hadir merasmikan program "Ilmiah Wanita: Setenang dan Seteguh Saidatina Khadijah" di Masjid Al-Muhtadin, Saratok, semalam. Foto ADUN Kalaka

SARATOK: Keperibadian Saidatina Khadijah Khuwailid R.A. yang memiliki kekuatan jiwa, kebijaksanaan, ketabahan serta keimanan luar biasa perlu dijadikan inspirasi oleh wanita Islam dalam membina keluarga yang kukuh, memperkasakan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata Saidatina Khadijah R.A. bukan sahaja dikenang sebagai isteri Rasulullah S.A.W., malah merupakan tokoh wanita unggul yang memainkan peranan besar dalam menyokong perjuangan dakwah Islam pada peringkat awal.

Menurut beliau, pengorbanan, kesetiaan dan kebijaksanaan Saidatina Khadijah menjadi contoh terbaik kepada wanita masa kini dalam menghadapi cabaran kehidupan dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan keimanan.

Beliau berkata nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh Saidatina Khadijah wajar diterapkan dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi yang berakhlak mulia serta keluarga yang harmoni dan sejahtera.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Bahagian Betong semalam mengambil inisiatif menganjurkan program “Ilmiah Wanita: Setenang dan Seteguh Saidatina Khadijah” di Masjid Al-Muhtadin, Saratok sebagai platform memperkukuh kefahaman wanita terhadap peranan dan tanggungjawab mereka menurut perspektif Islam.

Mohamad Duri berkata program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, pengukuhan institusi kekeluargaan serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat diteruskan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkukuh pegangan agama dan membina jati diri wanita Islam yang berdaya tahan serta berwibawa.

Katanya, usaha berterusan semua pihak dalam memperkasakan golongan wanita melalui pendekatan ilmu dan dakwah akan memberi impak positif kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.

Majlis penangguhan program itu telah disempurnakan oleh Kaunselor Majid Amit Zainuddin yang mewakili ADUN Kalaka.

Program berkenaan menghimpunkan peserta dari sekitar Bahagian Betong dan Saratok sebagai usaha memperkukuh penghayatan terhadap keperibadian Saidatina Khadijah R.A. agar terus menjadi teladan dalam melahirkan wanita Islam yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Oleh Adi Safarman