KUCHING: Lima pesalah juvana dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Jugah pada awal Jun lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, kesemua pesalah juvana itu didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas melakukan rompakan di sebuah kedai runcit pada kira-kira 4.00 pagi, 1 Jun lalu.
Berdasarkan pertuduhan, kumpulan berkenaan dipercayai melarikan wang tunai kira-kira RM1,000 serta pelbagai jenama rokok milik mangsa dalam kejadian tersebut.
Siasatan turut mendapati suspek didakwa menggunakan sebilah parang besi dan sebatang kayu semasa melakukan rompakan, sekali gus menjadikan kesalahan itu sebagai rompakan berkumpulan bersenjata.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan bidang kuasa mahkamah berkaitan pesalah juvana.
Kesemua pesalah juvana mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2 Kuching, Noorhisham Mohd Jaafar.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu penyediaan laporan sosial memandangkan mereka merupakan pesalah juvana.
Mahkamah turut menetapkan 7 September 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar laporan sosial sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam pada itu, polis memaklumkan seorang lagi individu yang dipercayai terbabit dalam rompakan berkenaan masih belum diberkas dan kini sedang diburu bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan media JSJ Sarawak, usaha mengesan serta menangkap suspek yang masih bebas itu sedang dipergiatkan, sambil orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Oleh Adi Safarman




