Pelakon veteran Cik Man selamat dikebumikan di Tanah Merah

Facebook
WhatsApp
AHLI keluarga, rakan artis dan kenalan yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada pelakon veteran Allahyarham Kamarozaman Yusoff, 68, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, hari ini. Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan oleh ahli keluarga, rakan artis dan kenalan di Masjid Mukim Kuala Paku. Foto BERNAMA

TANAH MERAH: Jenazah pelakon veteran Kamarozaman Yusoff, 68, atau lebih dikenali sebagai Cik Man, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, Gual Ipoh di sini pada 12 tengah hari tadi.

Sebelum itu, jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, dengan diimamkan anak lelaki Allahyarham, Ahmad Fahkrul Alif serta dihadiri lebih 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan artis.

ANAK kedua, Fakhrol Aliff mengimamkan solat jenazah bapanya yang juga pelakon veteran Allahyarham Kamarozaman Yusoff, 68, di Masjid Mukim Kuala Paku sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima hari ini. Foto BERNAMA 

Isteri Allahyarham, Norliza Mohd Aduni, 49, berkata arwah sempat menjalani penggambaran iklan produk di Machang pada 9 pagi semalam sebelum mengadu keletihan sebaik pulang ke rumah menjelang maghrib.

“Arwah hanya mengadu tidak sedap badan dan letih. Pada kira-kira 10 malam, saya membawanya ke Hospital Tanah Merah selepas mengalami sesak nafas.

“Ketika tiba di bahagian kecemasan keadaannya pada masih stabil dan doktor meneruskan rawatan lanjut. Arwah memang menghidap penyakit jantung dan pernah dimasukkan ke wad dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh di sini.

Norliza berkata arwah seorang suami yang penyayang, pemurah dan merendah diri walaupun dikenali ramai sebagai pelakon.

JENAZAH pelakon veteran Allahyarham Kamarozaman Yusoff, 68, diusung oleh ahli keluarga dan kenalan di Masjid Mukim Kuala Paku sebelum dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima hari ini. Foto BERNAMA

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Nur Najihah Kamarozaman, 28, berkata keluarganya tidak menduga bapanya akan pergi buat selama-lamanya kerana disangkakan hanya menerima rawatan biasa sebelum dibenarkan pulang.

Beliau berkata bapanya sangat meminati dunia seni dan tetap bersemangat menghadiri penggambaran dalam keadaan kesihatannya kurang baik tetapi hanya menerima tawaran drama pendek di Kelantan bagi mengelakkan keletihan.

Rakan artis, Mohammad Amirullah Azmi, 37, atau Amir Raja Lawak pula menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada industri seni kerana bukan sahaja menghiburkan masyarakat, malah sering menyampaikan mesej dakwah menerusi karya dan telatahnya.

AHLI keluarga, rakan artis dan kenalan yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada pelakon veteran Allahyarham Kamarozaman Yusoff, 68, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, hari ini. Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan oleh ahli keluarga, rakan artis dan kenalan di Masjid Mukim Kuala Paku. Foto BERNAMA

“Siapa yang mengenali Cik Man pasti menyimpan kenangan manis. Arwah gemar berjenaka, namun setiap tutur katanya sarat dengan nasihat dan pengajaran. Antara ungkapan yang sering diucapkannya ‘kita berjumpa di syurga dan hari kiamat’,” katanya.

Semalam, media melaporkan Cik Man meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, pada 5.30 petang kerana mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

Allahyarham mula dikenali menerusi watak antagonis ikonik “Ketua Kumpulan Gagak Hitam”  dalam filem “Gila-Gila Remaja” pada 1986, filem komedi “Hantu Kak Limah Balik Rumah” (2010) arahan Allahyarham Mamat Khalid serta beberapa filem lain.- Bernama

RiTC 2026 berpindah ke Esplanade Kuching

KUCHING: Penganjur Rock in the City (RiTC) 2026 mengumumkan pertukaran lokasi penganjuran festival muzik itu ke Esplanade Kuching, bersebelahan Hotel Grand Margherita, bagi