SIMANGGANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman menyita kira-kira 7,500 liter minyak diesel bersama dua unit skid tank dalam satu operasi hasil serahan kes daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 23 Sri Aman di kawasan Beladin, semalam.
Menurut kenyataan media KPDN Cawangan Sri Aman, rampasan tersebut melibatkan minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM36,375, manakala keseluruhan nilai sitaan termasuk peralatan dianggarkan mencecah RM56,375.
Susulan tindakan itu, KPDN Cawangan Sri Aman telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Bagi kesalahan di bawah akta berkenaan, pertubuhan perbadanan yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Bagi individu pula, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh meningkat kepada denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
KPDN Sri Aman memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan tersebut, termasuk meneliti sumber bekalan minyak diesel dan rangkaian pengedarannya.
Menurut kementerian itu, usaha berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi yang mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat serta negara.

Sehubungan itu, orang ramai diminta terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui Portal eAduan KPDN, menghubungi KPDN Cawangan Sri Aman di talian 083-323836 atau menerusi WhatsApp Aduan Pengguna di 019-848 8000 bagi membantu tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Oleh Adi Safarman





