SIBU: Cadangan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu Bukit Arip di bawah Parlimen Selangau wajar diberi perhatian serius dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Pemanca Daerah Selangau, Mathew Belawan berkata, beliau kecewa apabila cadangan tersebut masih belum diberikan pertimbangan sewajarnya walaupun Parlimen Selangau mempunyai keluasan yang amat luas serta jumlah pengundi yang kini hampir mencecah 50,000 orang.
Menurutnya, masyarakat menghargai usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula berdasarkan pertambahan jumlah pengundi, namun faktor keluasan geografi dan kesukaran akses di Sarawak tidak seharusnya dipinggirkan.
“SPR tidak seharusnya hanya melihat jumlah pengundi semata-mata. Realiti geografi di Selangau jauh berbeza berbanding banyak kawasan lain dan perkara ini perlu dinilai secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, DUN Bukit Arip dicadangkan merangkumi sebahagian kawasan DUN Tamin dan sebahagian DUN Kakus bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, DUN Kakus ketika ini merentasi pentadbiran tiga bahagian iaitu Bintulu, Sibu dan Mukah, selain melibatkan beberapa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Lembaga Kemajuan Bintulu serta Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.
Beliau berkata, Parlimen Selangau meliputi kawasan seluas kira-kira 9,193 kilometer persegi, dengan DUN Kakus 5,701 kilometer persegi manakala DUN Tamin 3,492 kilometer persegi.
“Bagaimana wakil rakyat dapat memberi perhatian secara menyeluruh kepada rakyat jika kawasan yang perlu diliputi terlalu besar, dengan lebih 800 lokaliti rumah panjang yang berselerak di seluruh Parlimen Selangau?” soalnya.
Mathew berkata, perjalanan dari Ulu Siong ke Long Beyak menjangkau hampir 400 kilometer dan bukan semuanya melalui jalan berturap, malah sebahagiannya masih menggunakan jalan bekas balak serta jalan ladang.
Menurutnya, DUN Tamin meliputi kawasan pedalaman dari Ulu Oya, Ulu Selangau, Pasai Siong hingga ke Kemena, manakala DUN Kakus merangkumi Long Beyak berhampiran Belaga, Ulu Kakus, Ulu Anap sehingga ke Arip dan Bawan Balingian.
Beliau berkata, cadangan mewujudkan DUN Bukit Arip bukan sekadar menambah kawasan pilihan raya, malah selaras dengan perkembangan pembangunan di kawasan tersebut, termasuk Projek Kawasan Penternakan Khinzir (PFA) di Sungai Selabi, projek Rehat dan Rawat (RnR) di Sungai Arip, selain berada dalam kawasan pembangunan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rejang (MiRRDA) dan Zon Ekonomi Sibu yang dijangka menarik lebih banyak pelaburan, peluang pekerjaan serta pembangunan infrastruktur.
“Sekiranya pembangunan terus berkembang, sudah tentu sistem pentadbiran juga perlu diperkukuhkan. Sebab itu DUN Bukit Arip bukan lagi satu cadangan yang boleh ditangguhkan, sebaliknya satu keperluan yang wajar dipertimbangkan demi memastikan pembangunan dapat diurus dengan lebih berkesan serta menjaga kepentingan rakyat Selangau,” tegasnya.
Untuk rekod, Parlimen Selangau mempunyai kira-kira 49,265 pengundi setakat Januari 2026 dan merupakan Parlimen ketiga terbesar di Sarawak dari segi keluasan selepas Parlimen Hulu Rejang dan Parlimen Baram.
Bagaimanapun, selepas persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015, kedua-dua parlimen berkenaan masing-masing mempunyai tiga kawasan DUN, manakala Selangau kekal sebagai satu-satunya parlimen yang begitu luas di Malaysia tetapi masih mempunyai hanya dua kawasan DUN.
Oleh Akun Giman





