SOALAN saya lontarkan ini mungkin senang dijawab kerana ramai yang kenal siapa sebenarnya James Brooke. Jawapan mudah akan keluar dari soalan ini ialah beliau adalah Raja Sarawak. Namun demikian tidak ramai tahu latarbelakang beliau. Dalam kolum kali ini saya cuba memberi satu gambaran ringkas biografi James Brooke.
James Brooke merupakan orang Inggeris yang dilahirkan Benares, India pada 29 April 1803. Beliau kemudian dihantar ke England dan dijaga oleh nenek beliau. Di England, beliau memasuki sekolah Norwich. James Brooke seorang yang cepat bosan dalam pendidikan yang beliau terima. Beliau sering melarikan diri dari sekolah dan tidak balik ke rumah sehingga malam. Beliau sering berkeliaran di kejirannya dan taman-taman sekitar.
Apabila nenek beliau mengetahui apa yang berlaku atas beliau, usaha telah dibuat untuk mengelak beliau berkeliaran di luar rumah dengan melantik seorang tutor mengajar beliau di rumah. Tutor yang diupah oleh nenek beliau juga tidak begitu berjaya mendidik beliau kerana beliau sukar dikawal dan kurang minat dalam pendidikan.
James Brooke tak minat pendidikan
Apabila ibu bapa beliau kembali ke England dari India, James Brooke dihantar semula ke sekolah tetapi masih gagal mengubah sikap James Brooke yang tidak berminat dalam pendidikan. Sikap negatif beliau pada pendidikan juga disebabkan oleh keluarganya banyak mencurah kasih sayang dan memanjakan beliau.
Kehidupan beliau mula berubah apabila beliau menyertai tentera British pada Mei 1819. Beliau kemudian berlepas ke Bengal untuk menyertai Infantri Peribumi ke-6. Pada tahun 1822 beliau dilantik sebagai Sub-Assistant Commissary General. Sejak menjawat jawatan itu beliau mula merasakan pentingnya pendidikan untuk membantu tugas beliau. Oleh itu beliau mula membaca buku-buku akademik dalam bidang teologi, sejarah, sejarah alam semula jadi dan undang-undang awam.
Semasa berkhidmata dalam bidang ketenteraan ini, beliau mempunyai banyak masa lapang. Oleh itu untuk memenuhi masa lapangan ini beliau banyak terlibat dalam aktiviti pemburuan babi hutan.
Beliau pernah bersama saudaranya memburu harimau di India. Dalam satu kejadian, beliau berjaya menyelamat saudara beliau daripada serangan harimau.
Perang Inggeris-Burma 1825
Apabila Perang Inggeris-Burma Pertama meletus pada 1825, beliau telah dipanggil untuk menyertai tentera British. Dalam perang tersebut beliau telah cedera parah dan dihantar ke Calcutta. Selepas itu pada Ogos 1825 beliau dihantar ke England untuk menerima rawatan selanjutnya. Pada tahun 1830 beliau cuba kembali ke India untuk menyertai tentera British berperang di Burma tetapi beliau sampai agak lewat. Akibatnya beliau gagal menyertai tentera British.
Beliau kemudiannya mengembara ke China serta singgah ke Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Di sana beliau mengalami demam akibat perubahan cuaca. Apabila ayahnya meninggal dunia pada tahun 1835, beliau meninggalkan wang berjumlah £30,000 kepada James Brooke. Beliau menggunakan wang tersebut membeli kapal seberat 142 tan yang dikenali sebagai Royalist. Beliau bersama anak kapalnya kemudian berlayar ke Singapura dari Devonport. Beliau memulakan pelayaran beliau pada Disember !838.
Redakan pemberontakan
Dari Singapura beliau telah diminta oleh Gabenor Singapura pergi ke Sarawak untuk menyampaikan pesanan terima kasih dan hadiah kepada Pengeran Muda Hashim. Beliau sampai ke Sarawak pada tahun 1839. Dalam perjumpaan itu Pengeran Muda Hashim meminta James Brooke meredakan pemberontakan dibawah pimpinan Datu Patinggi Ali. Namun demikian James Brooke menolak pemintaan itu tetapi berjanji akan berjumpa dengan Pengeran Muda Hashim semula.
Beliau seterusnya balik ke Singapura, dan dari Singapura beliau berlayar dan melawat Sulawesi. Sepanjang di Sulawesi, beliau singgah di beberapa buah negeri seperti Boni, Waju dan Lawu serta negeri-negeri kecil yang lain. Di sana, beliau mempelajari sistem politik, budaya dan adat resam penduduk tempatan khusus penduduk Bugis dan Bajau.
Selesai lawatan beliau di Sulawesi, beliau telah melawat semula Sarawak. Beliau sampai ke Kuching pada Ogos 1840 dan mendapati situasi pemberontakan di Sarawak masih lagi gagal diselesaikan. Kali ini beliau bersetuju membantu Pengeran Muda Hashim untuk menamatkan pemberontakan tersebut. Pertolongan daripada James Brooke ini berjaya mengalahkan kubu-kubu pihak memberontak. Akhirnya pihak yang memberontakan menyerah kalah dan berunding dengan James Brooke.
Gelaran Raja
Kejayaan James Brooke mendamaikan Sarawak membawa era baharu bagi Sarawak. Pada 24 September 1841 James Brooke telah dilantik sebagai pemerintahan Sarawak dengan memakai gelaran Raja. Beliau telah memberi jaminan kepada penduduk tempatan untuk menyusun semua sistem pentadbiran Sarawak dengan mengeluarkan undang-undang untuk mengawal keamanan dan keadilan untuk semua penduduk Sarawak. Sistem timbang dan sukat juga telah diseragamkan. Sistem percukaian juga disusun semula dibawah kawalan kerajaan dan bukan lagi dikawal oleh pembesar tempatan. Pemimpin Melayu Sarawak yang memberontak keatas Brunei telah diserap masuk dalam pentadbiran kerajaan Brooke. Pada 18 Ogos 1842 Sultan Brunei mengiktiraf James Brooke sebagai Raja iaitu semasa lawatan James Brooke ke Brunei.
Walaupun pelantikan James Brooke sebagai raja disambut dengan baik oleh penduduk Sarawak tetapi cabaran beliau mengekalkan kuasa di Sarawak amat mencabar. Ini kerana beliau tidak begitu yakin kepada sebahagian pemimpin Sarawak termasuk bekas pemimpin Brunei yang masih berada di Sarawak. Ini kerana beliau mengesyaki ada usaha membunuh beliau. Oleh itu beliau memerangi beberapa pemimpin Melayu dan Iban yang dicurigai beliau. Oleh itu ekspedisi menyerang pemimpin ini dilakukan di kawasan pengaruh Brunei seperti di Sungai Skrang, Sungai Saribas dan Sungai Batang Lupar. Satu persatu pemimpin ini telah ditewaskan dan ada yang menyerah diri dan ada pula melarikan diri ke Kalimantan.
Keturunan Hakka
Selisih difahamkan bermula dengan orang Hakka di Bau. Cabaran yang paling getir bagi James Brooke ialah perselisihan beliau dengan orang Hakka di Bau. Tindakan James Brooke untuk menguasai kekayaan antimoni dan emas di Bau dan penduduknya menimbulkan rasa kurang senang orang Hakka. Penduduk Cina keturunan Hakka ini telah mempunyai persatuan mereka sendiri yang dikenali sebagai Kongsi Dua Belas (San Ti Qu). Kongsi ini telah mendirikan sistem pemerintahan mereka sendiri di Bau. Pada tahun 1857 secara senyapnya kongsi ini mengumpul kekuatannya menyerang Kuching dan merancang untuk membunuh James Brooke.
Terpaksa melarikan diri
Serangan tengah malam itu berjaya menawan Kuching. James Brooke terpaksa melarikan diri dan berjaya menyelamatkan nyawanya. Ancaman pemberontakan ini akhirnya berjaya ditamatkan apabila anak buah beliau iaitu Charles Brooke dengan orang Iban dari Skrang datang membantu.
James Brooke mempunyai beberapa perancangan tentang masa depan Sarawak. Malah beliau pada satu ketika ingin menyerahkan Sarawak kepada kuasa asing. Beliau pernah berunding dengan kerajaan British untuk menyerahkan Sarawak tetapi tidak mendapat respon yang positif.
Beliau juga pernah berhasrat berjumpa dengan wakil kerajaan Perancis dan Belanda tetapi dibatalkan kerana dibantah oleh anak buah beliau iaitu Brooke Brooke. Runding diteruskan dengan Itali dan Belgium tetapi rundingan itu juga menemui kegagalan. Beliau kembali menawarkan Sarawak kepada pihak British tetapi gagal mendapat persetujuan kerajaan British.
Sepanjang pemerintahan James Brooke di Sarawak ini, Sarawak telah berkembang dari segi saiznya dengan memanjang hingga ke Sungai Rajang. Penyerahan lembah Rajang berlaku apabila timbul konflik Mukah.
James Brooke meninggal dunia pada awal pagi 11 Jun 1868 akibat serangan angina ahmar. Beliau telah dikebumikan di tanah perkuburan Sheepstor. James Brooke kemudiannya diganti oleh anak saudaranya iaitu Charles Brooke.