KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 11 barangan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini.
Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi sidang media dalam Facebook KPDNHEP berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan harga barangan keperluan berpatutan sepanjang sambutan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut oleh penduduk di Labuan dan Sabah pada 31 Mei 2021 dan Hari Gawai yang disambut oleh penduduk di Sarawak pada 1 Jun 2021.
“SHMMP Pesta Kaamatan 2021 akan bermula pada 27 Mei hingga 2 Jun selama tujuh hari, iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Manakala, bagi SHMMP Hari Gawai 2021 bermula daripada 28 Mei hingga 3 Jun yang juga dilaksanakan selama tujuh hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas perayaan,” maklum beliau.
Dalam pada itu, Nanta memberitahu kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan babi.
“Senarai barangan bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2021 adalah terdiri daripada ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), kepak ayam, telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).
“Selain itu, daging kerbau import (India), babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) daging babi (daging dan lemak).
“Manakala untuk SHMMP Hari Gawai, barangan terdiri daripada ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, telur ayam gred B dan telur ayam gred C.
“Senarai barangan lain terdiri daripada babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut), dan daging babi (daging dan lemak),” tambahnya.
Dalam sidang media tersebut Nanta turut memberitahu KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan semua premis dan peniaga patuh akan SHMMP.
Oleh RYNNA SHA’ERRA