BAU: Empat warga asing ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka dikejar polis kerana gagal berhenti untuk pemeriksaan dalam satu operasi berhampiran Kampung Stass.
Ketua Polis Daerah Bau Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, tangkapan dibuat kira-kira 2.45 petang pada 5 Ogos dalam Ops Taring Awas/Batas yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 Kompeni A.
Beliau berkata pasukan operasi mengesan sebuah Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di jalan yang tidak diwartakan di Kampung Stass sebelum mengarahkan pemandunya berhenti.
“Bagaimanapun, pemandu enggan memberikan kerjasama lalu memecut melarikan diri. Polis dengan bantuan unit MPV IPD Bau mengejar kenderaan itu sebelum berjaya memberhentikannya di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jagoi Duyoh, Jalan Serikin. Namun, pemandu berjaya meloloskan diri,” katanya.
Menurut Mohd Haide, pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penahanan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing yang dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan di Kampung Stass.
Polis turut merampas sebuah Perodua Viva serta empat telefon bimbit bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Oleh Connie Chieng





