KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencadangkan agar syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, mempertimbangkan pemasangan kemudahan Wi-Fi dalam pesawat bagi meningkatkan pengalaman dan keselesaan penumpang.
Beliau berkata, kemudahan Wi-Fi itu wajar diperkenalkan sekurang-kurangnya bagi laluan utama seperti Kuala Lumpur-Kuching, sekali gus membolehkan penumpang menikmati akses internet sepanjang penerbangan.
“Kalau boleh, AirBorneo… sekarang AirBorneo belum ada Wi-Fi. Saya minta mereka memasang Wi-Fi, sekurang-kurangnya bagi laluan Kuala Lumpur ke Kuching supaya penumpang dapat menggunakan Wi-Fi dalam kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Gala Jubli Perak SACOFA di Hotel Sheraton Kuching, malam tadi.
Abang Johari berkata, cadangan itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk terus memperkukuh ekosistem digital serta memastikan penggunaan teknologi dapat dinikmati dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk perkhidmatan pengangkutan udara.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang kukuh perlu dimanfaatkan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap dan berkualiti kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada SACOFA sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25 serta berharap syarikat itu terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi baharu bagi menyokong agenda transformasi digital Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi




