MANILA: Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda Davao Occidental pada Khamis, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
Menurut buletin Phivolcs, gempa itu merupakan gempa susulan kepada gempa bumi luar pesisir Sarangani berukuran 7.8 magnitud dan gempa bumi luar pesisir Davao Occidental berukuran 6.5 magnitud yang berlaku pada Jun 2026.
Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud itu melanda 16 kilometer (km) ke barat Pulau Balut pada 5.41 pagi.
Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 15km.
Phivolcs memaklumkan bahawa gempa bumi terbaharu itu dijangka tidak menyebabkan sebarang kerosakan.
Sementara itu, Phivolcs turut merekodkan gempa bumi berukuran 5.3 magnitud pada kedudukan 408km di tenggara Pulau Balut pada 12.50 tengah malam.
Gempa tektonik itu berlaku pada kedalaman 183km.
Menurut Phivolcs, gempa bumi berukuran 5.3 magnitud itu dijangka tidak menyebabkan kerosakan atau gempa susulan.
Tiada intensiti gegaran dilaporkan bagi kedua-dua gempa bumi itu. – Bernama-PNA





