JessC raih tiga pencalonan anugerah muzik Amerika Syarikat, julang anugerah emas Eropah

Facebook
WhatsApp
JESSC menghiburkan hadirin menerusi persembahan khas pada majlis penghargaan malam ini. Foto Norman B

KUCHING: Penyanyi dan doktor perubatan integratif, Dr. Jessie Chung atau lebih dikenali sebagai JessC, terus mengukuhkan kedudukannya di pentas antarabangsa apabila menerima tiga pencalonan pada Anugerah Muzik Josie 2026 di Amerika Syarikat, selain merangkul Pemenang Emas – Vokal Pop pada Anugerah Muzik Fenix 2026 di Eropah.

Majlis penghargaan berkenaan diadakan bagi meraikan pencapaian JessC dalam bidang muzik di peringkat antarabangsa.

Kejayaan anak kelahiran Sarawak itu membuktikan bakat tempatan mampu mengharumkan nama negeri dan negara di persada muzik dunia menerusi usaha serta dedikasi yang ditunjukkan dalam bidang seni.

Pada majlis berkenaan, JessC diumumkan menerima tiga pencalonan pada Anugerah Muzik Josie 2026, iaitu Artis Dunia Tahun Ini, Lagu Berimpak Sosial Tahun Ini dan Video Berimpak Sosial Tahun Ini, yang bakal berlangsung di Grand Ole Opry House, Nashville, Amerika Syarikat.

Lebih membanggakan, lagu One Chance diumumkan sebagai penerima Pemenang Emas – Vokal Pop pada Anugerah Muzik Fenix 2026, sekali gus menjadikan JessC satu-satunya penerima anugerah emas dunia bagi kategori Vokal Pop pada tahun ini.

Sepanjang tahun lalu, karya JessC yang diedarkan oleh Kumpulan Muzik Universal menerima lebih 1,500 liputan media di lebih 30 negara, dimainkan di lebih 150 stesen radio di lebih 100 bandar serta meraih lebih 30 juta tontonan di YouTube. Beliau turut menerima liputan daripada Rolling Stonedan Billboard Italia, sekali gus mengukuhkan reputasinya dalam industri muzik antarabangsa.

JESSC menampilkan persembahan penuh tenaga pada majlis penghargaan pencapaian muzik antarabangsanya malam ini. Foto Norman B

Selain aktif dalam bidang muzik, JessC yang memiliki dua kelayakan doktor falsafah dalam bidang onkologi dan sains kesihatan turut memperjuangkan terapi muzik sebagai medium untuk memberi harapan dan sokongan kepada individu yang berdepan penyakit, tekanan emosi serta pelbagai cabaran kehidupan.

Setiap pengiktirafan antarabangsa yang diterima disifatkan sebagai hasil sokongan padu daripada keluarga, guru, rakan-rakan, pasukan kerja, rakan kerjasama, media serta peminat yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan kerjayanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan dalam usaha menembusi pentas antarabangsa, pengalaman itu menguatkan lagi tekadnya untuk terus berkarya serta menggunakan muzik sebagai medium menyebarkan harapan dan inspirasi kepada masyarakat.

Pada masa sama, JessC akan terus menghasilkan karya asli dalam bahasa Cina, Inggeris dan Melayu di samping memperluaskan inisiatif terapi muzik. Pasukannya kini giat membuat persiapan bagi jelajah antarabangsa Echoes of Artistry yang dijadualkan berlangsung di Kuching pada Januari 2027 menerusi persembahan yang menggabungkan muzik, tarian, budaya, seni mempertahankan diri dan teknologi pentas moden.

Menerusi perancangan itu, beliau berharap muzik, seni, kebajikan dan pertukaran budaya akan terus menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai negara, sekali gus membolehkan lebih ramai insan di seluruh dunia merasai harapan, kekuatan dan kasih sayang melalui muzik.

Oleh Norman B