KUCHING: Sarawak mahu mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pengurusan spektrum komunikasi bagi memastikan negeri itu mempunyai peranan lebih besar dalam memanfaatkan sumber strategik berkenaan untuk keperluan teknologi masa depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, landskap telekomunikasi masa hadapan tidak lagi hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal seperti gentian optik, sebaliknya akan semakin bergantung kepada penggunaan spektrum yang membolehkan penghantaran isyarat melalui ruang udara.
Beliau berkata, perkara itu menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan Sarawak dapat mengikuti perkembangan teknologi baharu termasuk 5G, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi komunikasi generasi akan datang.
“Pada masa depan, ia tidak lagi hanya bergantung kepada gentian optik atau aset tetap. Ia perlu bergantung kepada isyarat, dan isyarat perlu melalui ruang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Perak sempena 25 tahun SACOFA di Kuching, malam ini.
Abang Johari berkata, Sarawak perlu mencari titik persamaan berkaitan penggunaan spektrum yang ketika ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, selain mengambil kira kepentingan negeri dalam membangunkan ekosistem digitalnya.
Katanya, beliau telah meminta pihak perundangan negeri meneliti perkara tersebut bagi membolehkan perbincangan lanjut diadakan dengan kerajaan Persekutuan.
“Cabaran sekarang adalah mencari titik pertemuan antara ruang spektrum di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan ruang spektrum yang dikawal oleh negeri,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai kepentingan strategik dalam perkara itu kerana perkembangan teknologi masa depan akan banyak bergantung kepada keupayaan mengurus dan memanfaatkan spektrum secara berkesan.
Menurutnya, spektrum merupakan sumber penting kerana ia membolehkan penyampaian isyarat komunikasi tanpa wayar yang diperlukan untuk memperluas capaian digital, khususnya di kawasan luar bandar.
Abang Johari berkata, usaha memperkukuh peranan Sarawak dalam ekosistem digital adalah sebahagian daripada persediaan negeri itu menghadapi tempoh 25 tahun akan datang, seiring perubahan teknologi yang semakin pantas.
Katanya, selain memperkukuh infrastruktur gentian optik menerusi kemudahan sedia ada, Sarawak juga perlu melihat kepada aset digital dan teknologi baharu yang akan menjadi asas ekonomi masa depan.
“Ini adalah sebahagian daripada apa yang akan kita lakukan. Kita perlu bersedia untuk masa depan kerana teknologi akan berubah,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan Persekutuan kekal penting bagi memastikan pembangunan telekomunikasi negara dapat dilaksanakan secara tersusun serta memberi manfaat kepada rakyat.
Oleh Afiq Sallehi




