KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Sarawak menerusi kunjungan hormat bagi membincangkan urusan penguatkuasaan di fasiliti pelantar luar pantai di Sarawak.
Kunjungan yang diadakan semalam itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP Malaysia, Ir. Ahmad Jailani Mansor, dan turut disertai Pengarah JKKP Sarawak, Jamadi Yusup.
Perbincangan memberi tumpuan kepada permohonan penggunaan Pas Lawatan Sosial bagi pegawai JKKP yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan di fasiliti pelantar luar pantai.
Selain itu, kedua-dua pihak membincangkan usaha memudah cara pergerakan pegawai JKKP yang melaksanakan aktiviti penguatkuasaan, siasatan kemalangan serta audit talian paip di fasiliti pelantar luar pantai dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Turut dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan prosedur sedia ada bagi memastikan urusan kemasukan pegawai JKKP ke fasiliti luar pantai dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur serta mematuhi keperluan perundangan dan aspek keselamatan.
JKKP dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada JIM Negeri Sarawak atas komitmen yang diberikan dalam memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan fungsi penguatkuasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor petroleum luar pantai.
Oleh Shikin Mahmud





