BINTULU: Seorang lelaki berusia 27 tahun berjaya diselamatkan selepas sesat ketika melakukan aktiviti larian santai di kawasan ladang sawit berhampiran Rumah Panjang Bukit Bethany, Kelalong, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.51 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan BBP Bintulu ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Alimun Mohammad Alimun Talip berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Shafiq Sahadan, 27, memasuki kawasan ladang sawit bersama tiga rakannya kira-kira jam 12 tengah hari untuk melakukan aktiviti larian santai.
“Ketiga-tiga rakannya pulang sekitar 2.00 petang, namun mangsa meneruskan aktiviti larian santai secara bersendirian sebelum gagal menemui jalan keluar ke lokasi motosikalnya ditinggalkan,” katanya.
Setibanya pasukan operasi di lokasi pada 5.37 petang, anggota berjaya menemui motosikal mangsa sebelum menghubunginya melalui telefon. Mangsa kemudian berkongsi lokasi semasanya (live location) kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) dan diminta supaya tidak bergerak bagi memudahkan pasukan mencari dan menyelamat mengesan kedudukannya.
Mangsa berjaya ditemukan pada 6.55 petang sebelum pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa mangsa keluar dari kawasan hutan menggunakan pengusung. Mangsa selamat dibawa keluar pada 7.12 malam.
Mangsa mengalami kecederaan pada tangan serta patah kaki kanan. Dia diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Bintulu sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota bomba dengan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan EMRS itu ditamatkan sepenuhnya pada 7.16 malam selepas keadaan mangsa disahkan selamat.
Oleh Faizah Muzidi





