KUCHING: Sebuah pusat berpantang dan ibu kepada seorang bayi berusia 19 hari yang mengalami patah lengan masing-masing mengeluarkan kenyataan susulan insiden berkenaan yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial semalam, KAER Professional Confinement Center Sdn Bhd memaklumkan bahawa pihaknya mengambil serius kejadian yang menimpa bayi berkenaan serta keluarganya.
Menurut pusat berpantang itu, pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan bagi membantu siasatan. Kenyataan daripada individu yang terlibat juga telah diambil.
KAER turut memaklumkan bahawa kakitangan yang dikaitkan dengan insiden tersebut tidak lagi bekerja di pusat berkenaan dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya sedang meneliti semula aspek prestasi kakitangan, latihan, penyeliaan serta prosedur penjagaan, selain memperkukuh prosedur dalaman bagi meningkatkan tahap keselamatan, profesionalisme dan akauntabiliti.
Memandangkan siasatan masih berjalan, KAER memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan atau berunsur fitnah.
Pusat berpantang itu turut menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan persekitaran yang selamat dan profesional kepada ibu serta bayi di bawah jagaan mereka.
Sementara itu, ibu kepada bayi berkenaan berkata dalam satu kenyataan berasingan bahawa beliau dimaklumkan pada awal pagi 4 Ogos lalu bahawa lengan kiri bayinya kelihatan bengkak sebelum dinasihatkan membawa bayi itu ke hospital.
Beliau berkata, pemeriksaan sinar-X kemudian mengesahkan bahawa bayinya mengalami patah pada lengan kiri.
Menurutnya, keluarga telah meminta pihak pusat berpantang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang insiden yang boleh menyebabkan kecederaan tersebut. Bagaimanapun, beliau mendakwa dimaklumkan bahawa tiada kejadian bayi terjatuh sebelum laporan polis dibuat.
Beliau turut mendakwa rakaman CCTV yang kemudiannya diteliti oleh pihak berkuasa menunjukkan bayi itu dikendalikan secara kasar dan tidak sesuai ketika proses menukar lampin.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa punca sebenar kecederaan serta masa kejadian berlaku hanya dapat dipastikan melalui siasatan perubatan dan siasatan pihak berkuasa.
Menurutnya, keluarga berkongsi kejadian itu bagi mendapatkan akauntabiliti, ketelusan serta siasatan yang menyeluruh, di samping berharap insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Kes tersebut masih dalam siasatan dan setakat ini pihak berkuasa belum mengumumkan sebarang dapatan rasmi.
Pihak polis telah dihubungi bagi mendapatkan pengesahan, namun sehingga kini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Oleh Connie Chieng





