BINTULU: Bermula sekadar hobi menghijaukan kawasan hadapan rumah, usaha Lim Kok Chai, 59, atau lebih dikenali sebagai Unga, bersama rakannya, Mohd Faizren, 35, mengusahakan tanaman hidroponik kini berkembang menjadi sumber pendapatan sampingan.
Tanaman hidroponik yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak setahun lalu itu bukan sahaja mendapat sambutan daripada penduduk sekitar, malah turut menerima tempahan secara borong daripada pengusaha restoran, gerai burger dan kedai makan di Bintulu.
Menurut Unga, hasil tanaman mereka dijual pada harga RM5 sebungkus, dengan setiap bungkusan mengandungi dua pokok sayur bersaiz besar atau tiga pokok bersaiz kecil.
Katanya, selain menjual di hadapan rumah, mereka turut membawa hasil tanaman ke pasar pagi sekitar Bintulu mengikut jumlah tuaian.
“Semakin banyak pelanggan membeli, semakin murah harga yang kami tawarkan. Biasanya jualan di pasar pagi mendapat sambutan menggalakkan dan dalam tempoh kira-kira sejam sahaja semua sayur habis dijual.
“Saya mula berniaga sekitar pukul 6.00 pagi dan kebiasaannya menjelang pukul 7.00 pagi saya sudah boleh pulang kerana semua sayur telah habis dijual,” katanya.

Unga berkata, beliau pada mulanya hanya ingin menghijaukan kawasan hadapan rumah kerana memang meminati aktiviti bercucuk tanam.
Minat itu kemudiannya berkembang apabila beliau mula mempelajari teknik penanaman hidroponik menerusi video di YouTube serta mendapatkan tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang berpengalaman.
“Pada mulanya saya hanya ingin menghijaukan kawasan hadapan rumah kerana memang minat menanam. Lama-kelamaan timbul keinginan untuk mencuba hidroponik selepas melihat banyak perkongsian di YouTube.
“Saya juga banyak bertanya kepada rakan-rakan mengenai teknik penanaman, hasil yang boleh diperoleh serta cabaran yang mungkin dihadapi sebelum memulakan projek ini,” katanya.
Menurutnya, dengan bantuan Mohd Faizren, mereka berjaya menguasai teknik penanaman hidroponik secara berperingkat sehingga mampu menghasilkan sayur-sayuran yang berkualiti.
Kini mereka mengusahakan empat jenis tanaman, iaitu sawi pahit, sawi manis, Green Coral Lettuce (selada daun karang hijau) dan Looseleaf Lettuce (selada daun longgar).
Mengulas mengenai penjagaan tanaman, Unga berkata kaedah hidroponik lebih mudah diselenggara berbanding tanaman menggunakan tanah kerana hanya memerlukan pemantauan secara berkala, terutama pada waktu pagi.
Menurutnya, cabaran utama ialah faktor cuaca yang boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman, selain sukatan air dan baja yang perlu dipastikan tepat bagi menghasilkan sayur yang berkualiti.

“Tanaman hidroponik juga lebih bersih kerana tidak menggunakan tanah dan tempoh pertumbuhannya lebih singkat. Sawi misalnya hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mencapai saiz yang besar dan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, mereka memulakan projek tersebut dengan modal kira-kira RM2,000 bagi membeli bekas tanaman, sistem paip, baja, benih dan peralatan lain.
Katanya, semua kos ditanggung sendiri tanpa menerima sebarang bantuan, manakala hasil jualan digunakan semula sebagai modal pusingan untuk menambah baik sistem tanaman.
“Alhamdulillah, walaupun bermula dengan modal yang kecil, usaha ini membuahkan hasil apabila jualan mendapat sambutan dan kami mula memperoleh pulangan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan pelanggan semakin menggalakkan apabila ramai jiran dan rakan sekerja memilih mendapatkan bekalan sayur hidroponik kerana kesegarannya yang dipetik terus sebelum dijual.
Unga berkata, orang ramai yang berminat mendapatkan sayur hidroponik segar boleh datang terus ke kediamannya di Rumah No. 2701, Kampung Asyakirin Fasa 1, Bintulu atau membuat tempahan awal dengan menghubungi Mohd Faizren di talian 012-8972796.
Berkongsi mengenai perancangan masa depan, beliau berkata mereka bercadang menambah lebih banyak jenis tanaman selepas memastikan setiap tanaman baharu mencapai tahap kualiti yang dikehendaki sebelum dipasarkan.
Beliau turut berharap dapat berkongsi pengalaman dan membimbing lebih ramai individu yang berminat dalam bidang hidroponik supaya berani menceburi perusahaan tersebut.
Dalam pada itu, Unga menasihatkan mereka yang ingin menceburi bidang hidroponik supaya tidak mudah berputus asa.
“Kalau sudah minat, jangan buat separuh jalan. Tanaman hidroponik ini menyeronokkan, terutama bagi mereka yang sudah bersara kerana dapat mengisi masa lapang dan pada masa sama menyihatkan badan,” katanya.
Beliau berharap usaha yang bermula sekadar hobi itu akan terus berkembang serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk memanfaatkan ruang di sekitar rumah bagi menghasilkan makanan segar dan menjana pendapatan sampingan.
Oleh Faizah Muzidi





