MIRI: Setiap warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) perlu menghayati bahawa tugas mengurus dan mentadbir tanah bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, sebaliknya satu amanah besar dalam mempertahankan kedaulatan Sarawak.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pemahaman terhadap kepentingan tanah sebagai aset strategik negeri perlu disemai dalam setiap warga jabatan kerana tanah bukan sahaja menjadi asas pembangunan, malah melambangkan kedaulatan serta masa depan Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program Level Up: Memperkasa Nadi Perkhidmatan Siri 2 Tahun 2026 yang menghimpunkan kira-kira 300 kakitangan kumpulan pelaksana JTS dari seluruh Sarawak di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, setiap penjawat awam di JTS perlu memahami bahawa perkataan “tanah” sendiri diberi penekanan dalam lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, sekali gus mencerminkan kepentingannya kepada identiti dan kedaulatan Sarawak.
“Kita bukan sekadar mengurus fail atau melaksanakan tugas harian. Kita sebenarnya mengurus satu amanah yang berkait secara langsung dengan kedaulatan negeri Sarawak.

“Tanah bukan perkara kecil, sebaliknya menjadi asas kepada sempadan, pembangunan dan masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata, setiap tindakan warga jabatan sama ada melibatkan pengukuran tanah, penilaian, perancangan, pendaftaran hak milik mahupun penguatkuasaan memberi impak besar terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, setiap tugas perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelitian dan profesionalisme kerana sebarang kesilapan mampu memberi implikasi kepada hak milik tanah, sempadan pentadbiran serta pelaksanaan projek pembangunan.
Menurut beliau, kejayaan JTS bergantung kepada kerjasama seluruh warga jabatan tanpa mengira jawatan atau gred perkhidmatan kerana setiap kakitangan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Tiada tugasan yang kecil dalam organisasi ini. Setiap pegawai dan kakitangan memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kejayaan sesebuah projek bermula daripada komitmen setiap individu,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh warga jabatan supaya memperkukuh budaya kolaborasi merentas seksyen, mengamalkan komunikasi berkesan serta mengelakkan budaya bekerja secara silo bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pada masa sama, beliau berkata skop pengurusan tanah kini semakin berkembang menerusi pembangunan Marine Cadastre, iaitu sistem pengurusan kadaster kawasan laut yang bakal memperkukuh pentadbiran kawasan pelantar benua Sarawak.
Katanya, inisiatif itu membuktikan peranan JTS kini melangkaui kawasan daratan dan semakin penting dalam menyokong pembangunan ekonomi serta menjaga kepentingan strategik negeri.
Program dua hari itu turut merangkumi aktiviti pembinaan pasukan, sesi pembangunan sumber manusia, perkongsian inspirasi bersama selebriti Bella Astillah serta penyampaian anugerah kepada peserta cemerlang.





