KUCHING: Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada 6 Ogos sempena Perarakan Keagamaan Sambutan Hari Lahir Dewa Guan Ti Kung 2026.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, perarakan yang bermula pada 6.00 petang dan dijangka berakhir pada 12.00 tengah malam itu akan disertai kira-kira 120 kontinjen.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat mengikut aliran trafik bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, antara laluan yang terlibat ialah Lorong Ang Cheng No. 7, Jalan Petanak, Bulatan Sri Aman, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, Jalan Padungan, Jalan Bukit Mata, Jalan Lebuh Wayang, Jalan Wawasan, Lorong Carpenter, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Abell, Jalan Rumbia, Bulatan Petanak, Lorong Blacksmith dan Lorong Ang Cheng.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kenderaan yang melalui Jalan Tabuan dari arah Simpang Tiga disarankan menggunakan Jalan McDougall bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Lebuh Wayang dan Jalan Wawasan.
“Kenderaan dari arah Jalan Haji Taha pula dinasihatkan membuat pusingan di Jalan Power bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Gambir dan Jalan Tun Abang Haji Openg.
“Manakala pengguna jalan raya dari arah Jalan Pending atau Jalan Padungan digalakkan menggunakan Jalan Sekama dan Jalan Datuk Abang Abdul Rahim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di sepanjang laluan perarakan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di talian 082-259900.




