BEKENU: Seramai 228 penduduk dari Rumah Gasan dan Rajit secara rasmi menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sekali gus memperkukuh sokongan akar umbi terhadap parti itu di kawasan Bekenu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, pertambahan keahlian baharu itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PBB yang terus menjadi tunjang utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, kekuatan PBB bukan sahaja terletak pada jumlah keahlian yang semakin meningkat, malah didorong oleh perpaduan dalam kalangan ahli, jentera parti yang mantap serta kepimpinan berwawasan di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sebagai parti teras dalam GPS, PBB terus memikul amanah untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan pembangunan Sarawak dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Visi pembangunan yang jelas serta perpaduan dalam kalangan ahli menjadi faktor utama yang mengukuhkan kedudukan PBB di peringkat negeri dan nasional,” katanya.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu dan Ketua Cawangan PBB Bekenu berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kad keahlian baharu PBB di Rumah Gasan Bekelit, Ulu Sibuti, petang tadi.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan penyertaan 228 ahli baharu itu dan berharap mereka dapat memainkan peranan aktif dalam memperkukuh perjuangan parti di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, peningkatan sokongan daripada masyarakat membuktikan rakyat terus memberikan kepercayaan kepada kepimpinan GPS dalam membawa pembangunan inklusif dan mampan untuk seluruh Sarawak.
Sebagai rekod, PBB Cawangan Bekenu kini mempunyai 35 ranting induk, 16 ranting Pemuda dan 16 ranting Wanita.
Sementara itu, seramai 174 ahli baharu dari Rumah Gasan menyertai Ranting Bakas Bekelit, manakala 54 lagi menyertai Ranting Bekelit Pakut.
Justeru, beliau yakin semangat perpaduan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PBB akan terus memastikan GPS kekal kukuh sebagai kerajaan yang stabil serta mampu membawa Sarawak ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Oleh Adum Liu




