KUCHING: Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula 8 hingga 9 Ogos ini sempena penganjuran Maraton Sarawak Energy 2026.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan bagi melancarkan perjalanan program serta memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang acara berlangsung.
Menurutnya, penutupan jalan di sekitar kawasan Sarawak Energy akan bermula pada 8 Ogos, 8.00 pagi hingga 9 Ogos, 10.00 pagi, manakala laluan perlumbaan akan ditutup pada 9 Ogos bermula 12.01 tengah malam hingga 8.00 pagi.
Katanya, antara jalan yang terlibat ialah Jalan Isthmus, Jalan Pelabuhan, Jalan Merican Salleh, Jalan Pending, Jalan Padungan, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Temple, Lebuh Wayang, Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Satok, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Jalan Stadium, Jalan Casuarina, Jalan Diplomatik, Jalan MASJA, Jalan Astana, Jalan Hasyim Jaafar, Jalan Merdeka, Jalan Kulas, Jalan Muhibbah, Jalan Haji Mataim, Jalan Ajibah Abol, Jalan Market, Jalan Gambier, Jalan Abell, Jalan Abang Abdul Rahim, Lorong Sebor, Jalan Kwong Lee Bank dan Jalan Merbau.


Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif berikutan penutupan beberapa jalan utama di Kuching sempena Maraton Sarawak Energy 2026. Foto Polis Daerah Kuching
Beliau berkata, orang ramai yang hadir diminta supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan di sepanjang laluan yang terlibat.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-259900.
Oleh Shikin Mahmud




