PETRA JAYA: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya memulakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi cadangan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir disifatkan ‘bagai melepaskan batuk di tangga’.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada keseluruhan proses dan keperluan perundangan dapat diselesaikan sebelum DUN Sarawak dibubarkan atau tamat penggal.
“SPR akhirnya sampai ke peringkat akhir dan apabila pilihan raya semakin hampir, barulah notis itu dikeluarkan.
“Pada pandangan saya, perkara ini sepatutnya dilakukan beberapa bulan lalu. Sekarang kita tahu terdapat pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi sekiranya mahu menambah bilangan kerusi,” katanya pada sidang media Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak (SUITEX) 2026 di Baitulmakmur II, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata antara prosedur yang perlu dipatuhi ialah notis cadangan perlu dipamerkan di lokasi tertentu selain memberi ruang kepada orang ramai mengemukakan bantahan.
“Saya agak terkejut apabila ia hanya dibuat sekarang. Ia seolah-olah seperti ‘melepas batuk di tangga’,” katanya.
Beliau berkata, penggal semasa DUN hanya berbaki sehingga Februari tahun depan tetapi jika DUN tidak dibubar, maka secara automatik terbubar Februari dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Katanya, berdasarkan pemahamannya, notis persempadanan itu perlu dipamerkan untuk tempoh tertentu sebelum sebarang bantahan diteliti dan proses seterusnya diteruskan.
“Persoalannya, adakah semua keperluan prosedur dan perundangan dapat diselesaikan antara sekarang hingga Februari 2027?” katanya.
Beliau berkata, sekiranya proses tersebut gagal diselesaikan dalam tempoh berkenaan, usaha memulakan persempadanan semula itu tidak akan mencapai matlamat asal.
“Apa yang kita mahukan apabila mencadangkan penambahan 17 kerusi setahun lalu ialah supaya ia benar-benar dapat dilaksanakan.
“SPR sepatutnya bertindak lebih awal, termasuk membawa perkara ini ke Parlimen. Mengapa perlu tunggu sehingga hampir ke penghujung baru memulakan proses?” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui SPR sekurang-kurangnya telah menunjukkan perkembangan positif dengan memulakan proses persempadanan semula.
“Harapan saya, kalau boleh kita mahu 17 kerusi itu digunakan pada pilihan raya negeri akan datang kerana itulah tujuan asal cadangan penambahan kerusi dikemukakan,” katanya.
Abdul Karim berkata, cadangan menambah kerusi DUN bukan mempunyai agenda tersembunyi, sebaliknya bagi memastikan wakil rakyat dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan kepada penduduk memandangkan keluasan kawasan di Sarawak.
“Sarawak sebuah negeri yang sangat luas. Ada satu kawasan DUN yang keluasan hampir menyamai sebuah negeri di Semenanjung.
“Sebab itulah kita mahu penambahan kerusi supaya rakyat lebih mudah menyuarakan masalah mereka dan wakil rakyat dapat turun padang dengan lebih berkesan. Tiada agenda tersembunyi di sebalik cadangan itu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menentukan sendiri masa yang sesuai untuk membubarkan DUN.
Terdahulu, SPR menyiarkan notis cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya beberapa hari selepas dokumen yang didakwa mengandungi cadangan mewujudkan 17 kerusi baharu DUN serta perubahan sempadan kawasan sedia ada tersebar di media sosial.
Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan usul penambahan 17 kerusi baharu yang akan meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99.
Bagaimanapun, cadangan itu hanya boleh berkuat kuasa selepas SPR melengkapkan proses persempadanan semula dan mendapat kelulusan Parlimen.
Oleh Shikin Mahmud




