BERPENGALAMAN lebih 33 tahun sebagai nelayan, pelbagai kenangan manis dan pahit diharungi oleh Osman Jalaini Rambli, anak jati Kampung Selalang, Sarikei ini.
Osman Jalani kini berusia 46 tahun dan dia mula menjalani kehidupan sebagai nelayan setelah berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun sekitar tahun 1988.
Turun ke sungai untuk menangkap ikan telah sebati dalam dirinya dan hampir setiap hari dia turun menangkap ikan sekiranya cuaca mengizinkan.
Katanya, selain memukat ikan, dia juga memancing ikan di kawasan sekitar Sungai Selalang.
“Saya gemar turun memancing setiap hari sekiranya cuaca dalam keadaan baik.
“Antara ikan yang saya selalu dapat semasa memancing ialah ikan Terusan dan ikan Palo. Ikan Terusan dan ikan Palo sangat sukar diperolehi dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Ikan-ikan ini merupakan antara penyumbang rezeki kepada kami sekeluarga,” katanya ketika ditemu bual penulis.
Hasil jualan ‘lupar ikan’ atau limpa ikan Terusan dan limpa ikan Palo yang lumayan adalah satu lubuk rezeki baginya.
“Saya menjual limpa ikan Terusan dan ikan Palo yang telah dikeringkan kepada kedai ubat yang menerima dengan harga yang lebih tinggi berbanding kedai ubat lain di pasar.
“Sekiranya kita menjual limpa ikan Terusan seberat 50 gram, harganya boleh mencecah sehingga RM7,375.
“Ia diterima dengan harga yang tinggi dan amat membantu menambah pendapatan keluarga saya,” ujarnya.
Jelasnya, harga limpa ikan Terusan dan limpa ikan Palo tidak sama.
“Harga limpa ikan Palo pula ialah RM1,000 untuk 100 gram.
“Dulu tidak ramai penduduk disini menangkap ikan Terusan dan ikan Palo.
“Kini bertambah ramai yang berminat memancing ikan ini memandangkan harga limpa ikan ini semakin tinggi di pasaran,” katanya lagi.
Selain bekerjaya sebagai nelayan, Osman Jalaini juga merupakan seorang pemilik warung yang dikenali sebagai Titanic Selalang.
Kisah warungnya yang dibina olehnya sendiri dengan kreatif pernah penulis coretkan di ruangan Stail Utusan Sarawak siaran 28 Januari 2021.
Menyentuh berkenaan warungnya, bapa kepada lima orang anak ini berkata, operasi warung diberhentikan seketika buat masa ini bagi menghindar wabak Covid-19.
“Mungkin operasi warung akan bermula semula selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Bersama kita doakan semoga wabak pandemik Covid-19 segera berakhir di negara kita,” katanya lagi.
Oleh EARL ANEK