SIBU: Persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu disegerakan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan, terutama di kawasan luar bandar yang luas dan mencabar dari segi geografi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, semakan semula itu amat diperlukan kerana kali terakhir persempadanan dilaksanakan adalah pada 2015 dan kini telah melepasi tempoh lebih sedekad sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk dikaji semula selepas sekurang-kurangnya lapan tahun.
“Sudah tiba masanya persempadanan semula dibuat berdasarkan keperluan semasa kerana keadaan Sarawak hari ini sudah banyak berubah dari segi pembangunan, penempatan penduduk dan cabaran pentadbiran,” jelasnya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, keluasan Sarawak yang hampir menyamai seluruh Semenanjung Malaysia menyebabkan ada kawasan DUN yang terlalu besar sehingga menyukarkan wakil rakyat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Bukan sahaja kos yang tinggi, malah masa perjalanan, logistik dan pelbagai cabaran lain perlu dihadapi untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan yang sangat luas,” katanya.
Dr Safiee berkata, pertambahan kawasan DUN daripada 82 kepada 99 seperti yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri sebelum ini akan menjadikan kawasan pilihan raya lebih kecil dan memudahkan wakil rakyat memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
Beliau menegaskan cadangan itu bukan bertujuan memenuhi agenda politik, sebaliknya untuk memperkukuh pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan pembangunan di seluruh Sarawak.
“Apabila kawasan menjadi lebih kecil, perancangan pembangunan akan lebih fokus dan pelaksanaan projek infrastruktur serta utiliti juga dapat dipercepatkan,” ujarnya.
Mengulas mengenai komposisi kaum dan demografi pengundi, Dr Safiee berkata, keadaan itu bergantung kepada setiap kawasan kerana taburan penduduk di Sarawak sememangnya dipengaruhi faktor sejarah penempatan masyarakat setempat.
“Persempadanan semula tidak banyak mengubah identiti sesuatu kawasan, tetapi ia akan memudahkan wakil rakyat memberi perhatian kepada semua kaum yang tinggal dalam kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau turut mengakui pertambahan kerusi DUN akan melibatkan implikasi kewangan, namun berpendapat manfaat yang bakal dinikmati rakyat jauh lebih besar berbanding cabaran yang timbul.
“Saya yakin langkah ini akan memudahkan pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak termasuk Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Rancangan Malaysia Ke-13 dan pelbagai dasar kerajaan Sarawak,” ujarnya lagi.
Beliau berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mempercepatkan proses persempadanan semula yang sedang dipamerkan bagi mendapatkan maklum balas awam supaya ia dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah.
“Harapan saya proses ini dapat dipercepatkan kerana ia merupakan satu mekanisme penting untuk membantu pelaksanaan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh Sarawak,” katanya.
Oleh Akun Giman





